Lebih 114 juta penduduk dunia hilang tempat tinggal

Lebih 114 juta penduduk dunia hilang tempat tinggal

PENDUDUK Palestin yang hilang tempat tinggal akibat serangan Israel, berlindung di sebuah sekolah kendalian UNRWA di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Bilangan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat peperangan, penganiayaan, keganasan dan pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia dianggarkan melebihi 114 juta orang setakat akhir September tahun ini.

Data itu didedahkan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menerusi kenyataan.

Menurut UNHCR, punca utama pemindahan penduduk secara paksa pada separuh pertama tahun ini disebabkan konflik di Ukraine, Sudan, Myanmar, Republik Congo dan krisis kemanusiaan berpanjangan di Afghanistan.  

Malah, jelas agensi dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, antara faktor lain menyumbang kepada masalah perpindahan itu termasuk kemarau, banjir dan keganasan di Somalia.    

“Tumpuan dunia kini adalah pada krisis kemanusiaan di Gaza, tetapi di peringkat global pula, terlalu banyak konflik yang semakin berleluasa dan memuncak sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa individu tidak bersalah.

“Ketidakupayaan komuniti antarabangsa untuk menyelesaikan mahupun mencegah konflik daripada berlaku menyebabkan kesengsaraan dan pemindahan penduduk ini.  

“Jadi, kita harus bekerjasama untuk menamatkan konflik dan membenarkan pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, pulang semula ke tempat asal mereka,” kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grandi.

Menerusi laporan pertengahan tahun yang menganalisis pemindahan secara paksa sepanjang enam bulan pertama 2023, UNHCR memaklumkan seramai 110 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia setakat akhir Jun lalu.

Angka itu meningkat 1.6 juta berbanding jumlah direkodkan pada akhir 2022.

Seorang jurucakap UNHCR mengesahkan angka baharu itu merupakan rekod tinggi sejak agensi PBB itu mula mengumpul data pada 1975.

Berdasarkan laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu.

Jelas UNHCR, lebih separuh daripada penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dilaporkan tidak pernah menyeberangi sempadan antarabangsa.

Tambah laporan UNHCR, hampir satu pertiga daripada penduduk dunia yang kehilangan tempat tinggal berasal dari tiga negara iaitu Afghanistan, Syria dan Ukraine. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya