Lebih 100,000 orang protes tuntut PM Bangladesh letak jawatan

Lebih 100,000 orang protes tuntut PM Bangladesh letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Lebih 100,000 penyokong dari dua parti pembangkang utama Bangladesh berhimpun di Dhaka bagi menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan.

Individu berkenaan menuntut Sheikh Hasina berundur bagi membolehkan pemilihan yang bebas dan adil di bawah kerajaan neutral.

Protes anjuran parti pembangkang utama iaitu Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan Jamaat-e-Islami merupakan demonstrasi terbesar setakat tahun ini.

Malah, demonstrasi itu menandakan fasa baharu dalam bantahan mereka ketika pilihan raya umum bakal diadakan dalam tempoh tiga bulan.

Sheikh Hasina yang merupakan anak perempuan kepada pengasas negara itu sudah memerintah selama 15 tahun, selain pernah menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat dengan Bangladesh mengatasi negara jirannya, India dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita.

Bagaimanapun, inflasi meningkat dan pentadbirannya dituduh terlibat dalam rasuah dan pencabulan hak asasi manusia.

Pembangkang bertindak melancarkan protes mendesak tuntutan mereka selama berbulan-bulan, walaupun pemimpin BNP, Khaleda Zia yang sebelum ini pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, berada dalam tahanan rumah, selepas disabitkan dengan tuduhan rasuah.

Penyokongnya membanjiri Dhaka, bersesak-sesak dalam bas walaupun terdapat sekatan di jalan raya ke ibu negara.

Malah ada antara kumpulan penyokong itu turut menaiki kereta api yang sesak.

Seorang aktivis dari Chittagong, Sekandar Badsha menuntut Sheikh Hasina meletak jawatan dengan segera, selain membebaskan Khaleda Zia dan membenarkan rakyat untuk mengundi.

Sementara itu, pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya 10,000 polis dikerah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi.

Katanya, polis turut bertempur dengan ratusan penunjuk perasaan di kawasan kejiranan Kakrail dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

“Beberapa anggota polis turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Akterul Islam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya