Ladang ‘urban’ bumbung stadium Boston hasilkan ratusan tanaman - Utusan Malaysia

Ladang ‘urban’ bumbung stadium Boston hasilkan ratusan tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STADIUM Fenway Park bukan sahaja terkenal sebagai tuan rumah kepada pasukan besbol Boston Red Sox. Uniknya bumbung stadium itu turut menempatkan ladang ‘urban’ yang mampu menghasilkan lebih 2,721 kilogram (kg) hasil tanaman pelbagai jenis sayuran setahun.
Ladang tersebut menjadikan Fenway Park sebagai satu-satunya stadium besbol ikonik yang mencipta kehijauan dengan cara berbeza. Setiap beberapa bulan, kumpulan petani dari Green City Growers akan memungut hasil tanaman dan menjaga kawasan ladang atas bumbung kira-kira 1.5 kilometer persegi yang dipanggil Fenway Farms.
Presiden Green City Growers, Chris Grallert berkata, sejak kecil beliau sering hadir menonton permainan pasukan Boston Red Sox dan ladang berkenaan memberi nilai tambah yang menarik dan bermanfaat kepada penduduk setempat.
“Pada 1920, kawasan yang terletak di pusat bandar Boston menduduki tempat kelima di negara ini untuk nilai tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran. Semua komuniti di sekitar Boston mempunyai pasar dan taman tempatan.

“Mempunyai ladang atas bumbung di Fenway Park adalah cara menakjubkan untuk memperkasakan semula sistem pengeluaran makanan tempatan,” katanya.Pada 2014, organisasi Red Sox mendapatkan bantuan Recover Green Roofs yang mereka bentuk dan memasang taman atas bumbung menggunakan sistem penanaman modular dengan peti yang dipenuhi tanah.

“Apa yang kami lakukan di sini sudah dilakukan selama 10,000 tahun lalu atau lebih. Apa yang kita perlukan cahaya matahari, air, tanah, sistem saliran yang baik dan kesuburan. Di sini, anda benar-benar boleh menanam apa sahaja yang boleh tumbuh di atas tanah. Kami hanya mengambil sistem itu dan meletakkannya di atas bumbung,” jelas Grallert.
Sebagai taman bermusim, petani mula membuat persediaan di Fenway Park pada Mac dan boleh berpanjangan sehingga Disember, bergantung pada keadaan cuaca.
Pada akhir Ogos, sekitar penghujung musim panas, ladang itu akan dipenuhi terung, tomato ceri, lobak merah, bawang, pelbagai jenis lada, ubi bit serta sayur-sayuran hijau seperti kangkung dan herba selasih.
Grallert berkata, sebaik sahaja hasil tanaman itu dituai, satu lagi tanaman musim luruh akan ditanam di tempat sama.
“Kami boleh menghasilkan antara 1,000 hingga 2,000 kg hasil segar setahun, bergantung pada apa yang kami tanam.
“Untuk memaksimumkan hasil dengan ruang, pasukan kami mengelak daripada menanam tanaman yang lebih besar seperti jagung manis, labu, atau tembikai,” tambahnya.
Ladang itu adalah 100 peratus organik, tanpa penggunaan bahan kimia dengan kain putih disarungkan pada beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengelakkan gangguan haiwan perosak.
Sistem pengairan yang sangat cekap mengalir melalui barisan tanaman ke dalam setiap peti individu, memastikan jumlah air yang tepat untuk jenis tumbuhan yang ditanam.
Di bawah laluan pejalan kaki yang selari dengan ladang berkenaan, pelbagai restoran dan konsesi menggunakan buah-buahan, sayur-sayuran dan herba di Fenway Park dalam hidangan yang disajikan mereka.

“Kami cuba memasak produk-produk tanaman dari Fenway Park dengan cara paling ringkas kerana mahu pelanggan menikmati kesegaran dan keenakannya,” kata Chef restoran, Ron Abel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya