SEOUL: Korea Utara menafikan senjatanya digunakan oleh kumpulan pejuang Hamas dalam serangan terhadap Israel dan menegaskan dakwaan yang dibuat beberapa media itu adalah usaha Washington untuk mengalihkan kesalahan kepada negara ketiga.
Radio Free Asia memetik pakar tentera melaporkan bahawa pejuang Hamas mungkin menggunakan senjata Korea Utara dan berkata rakaman pejuang Palestin menunjukkan pelancar roket yang disyaki berasal dari negara itu.
Voice of America milik kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang juga memetik seorang pakar perisikan mendakwa beberapa senjata yang digunakan oleh Hamas berkemungkinan berasal dari Korea Utara.
“Badan akhbar dan pakar pentadbiran AS menyebarkan khabar angin tidak berasas dan palsu bahawa senjata Korea Utara kononnya digunakan untuk serangan ke atas Israel.
“Ia tidak lain hanyalah usaha untuk mengalihkan kesalahan terhadap krisis di Asia Barat yang jelas disebabkan oleh dasar hegemoni yang salah dan menuding kepada negara ketiga demi mengelak kritikan antarabangsa yang terarah kepada empayar kejahatan mereka,” kata agensi berita rasmi KCNA.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, beliau tidak boleh mengesahkan laporan mengenai sumber senjata roket yang digunakan oleh Hamas.
“Strategi keselamatan AS di kawasan lain di dunia termasuk Semenanjung Korea tidak akan terjejas oleh krisis Israel-Hamas,” tambah Kirby.
Media Korea Utara awal minggu ini menyalahkan Israel kerana menyebabkan pertumpahan darah di Gaza.
Korea Utara juga secara rutin menyalahkan AS kerana mendorong Semenanjung Korea ke ambang perang nuklear.
Menurut KCNA, konflik Israel muncul sebagai satu lagi beban strategik terbesar kepada Washington selain krisis di Ukraine, sekali gus mempamerkan batasan strategi AS terhadap hegemoni dan matlamatnya menjadi kuasa besar global tunggal.-REUTERS