SEOUL: Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun akan mengadakan latihan udara bersama pada hujung minggu ini membabitkan pesawat pengebom B-52 berkeupayaan senjata nuklear AS.
Agensi berita Yonhap yang memetik sumber dari tentera melaporkan latihan tiga negara itu bakal menjadi yang pertama seumpamanya dijalankan berhampiran Semenanjung Korea.
Bagaimanapun, seorang pegawai di Kementerian Pertahanan Korea Selatan enggan mengesahkan laporan itu namun memaklumkan tiga negara itu meluaskan latihan ketenteraan bersama untuk menangani ancaman peluru berpandu dan nuklear dari Korea Utara.
Dilaporkan, Pyongyang menyifatkan usaha berkenaan sebagai latihan untuk persediaan terhadap sebarang pencerobohan, selain berulang kali memberi amaran pihaknya akan mengambil tindak balas tegas.
“Latihan udara bersama Korea Selatan, AS dan Jepun akan membabitkan penerbangan formasi dengan pengebom strategik AS B-52 diiringi jet pejuang dari tiga negara,” jelas sumber itu.
Pesawat pengebom itu mendarat di pangkalan udara Korea Selatan semalam, selepas pertama kali berada di pameran pertahanan terbesar negara itu.
Ketibaannya diikuti lawatan pelabuhan minggu lalu oleh kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Ronald Reagan, yang mencetuskan kemarahan Pyongyang.
B-52, yang terbang pada kelajuan subsonik, boleh bergerak lebih daripada 14,162 kilometer (km) tanpa pengisian minyak pada ketinggian mencapai 50,000 kaki.
Pyongyang menghalang pengerahan aset tentera jarak jauh AS dan pada 2017 mengancam untuk menembak jatuh pengebom strategik negara itu, walaupun di luar ruang udara Korea Utara.
Latihan udara pada Ahad ini diadakan ketika Seoul, Washington, dan Tokyo meningkatkan kerjasama pertahanan tiga hala terhadap ancaman peluru berpandu dan nuklear yang semakin meningkat dari Korea Utara.
Ogos lalu, pemimpin tiga negara bertemu untuk sidang kemuncak di Camp David, sebelum bersetuju dengan rancangan bagi mengadakan latihan bersama secara tetap dan berkongsi data masa nyata mengenai Korea Utara. – AFP