KAHERAH: Serangan udara Israel yang melanda kawasan sempadan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza, mengganggu operasi di pintu keluar yang terletak di sempadan selatan wilayah itu.
Lapor The National, menurut pegawai keselamatan Mesir, negaranya menggesa Israel membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan kira-kira 2.3 juta penduduk di kawasan itu menyelamatkan diri daripada serangan udara berkenaan.
Serangan udara itu disifatkan sebagai paling sengit dalam tempoh 75 tahun sejak konflik Israel-Palestin bermula.
Isnin lalu, Israel mengenakan kepungan sepenuhnya ke atas Semenanjung Gaza.
Serangan udara itu berlaku sehari selepas beberapa letupan berhampiran pintu sempadan bahagian Gaza, memaksa pihak berkuasa Mesir menggantung operasi lintasan di Rafah itu.
Menurut pihak berkuasa, tiga laluan lain di sepanjang sempadan Mesir dengan Semenanjung Gaza dan Israel, juga terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa juga meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan Mesir dengan Gaza dan Israel bagi menghalang sebarang aktiviti keluar masuk oleh pejuang ke Israel.
Pasukan tentera yang dikerahkan di kawasan itu diarahkan untuk berjaga-jaga, selain diberi kebenaran untuk menggunakan kekerasan terhadap mana-mana individu yang mencurigakan.
Gangguan di kawasan sempadan Rafah dan penutupan laluan lain berlaku ketika pesawat pejuang Israel menyerang Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan mengejut Hamas pada Sabtu lalu.