GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindak balas terhadap perang yang berlanjutan antara Palestin dan Israel di Semenanjung Gaza.
Mesyuarat tergempar itu akan berlangsung di ibu pejabat PBB di New York, pada Khamis ini.
Menurut Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Dennis Francis, Jordan dan negara-negara Arab lain meminta PBB mengadakan sesi khas itu selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) minggu lalu gagal menerima pakai resolusi yang meminta koridor kemanusiaan dalam konflik itu.
“Mana-mana daripada 193 negara anggota PBB boleh menghadiri mesyuarat tergempar Perhimpunan Agung. Diharap ramai yang menyuarakan pendapat mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Minggu lalu, UNSC yang tidak sependapat mengenai isu Israel-Palestin, menolak draf resolusi Rusia yang menggesa ‘pemberhentian konflik atas dasar kemanusiaan.’
Hanya lima daripada 15 negara anggota menyokong resolusi itu, yang mengutuk semua keganasan terhadap orang awam dan semua tindakan pengganas tanpa menamakan Hamas.
Tindakan itu enggan diterima oleh Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Perancis.
Negara-negara Arab mula memberikan tekanan ke atas Israel ketika rejim itu bersiap sedia untuk melancarkan serangan darat.