Gaza terkini: Seorang kanak-kanak maut setiap 15 minit

Gaza terklini: Seorang kanak-kanak maut setiap 15 minit

BEBERAPA kanak-kanak cedera akibat serangan udara tentera Israel di Gaza, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih 1,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam 11 hari serangan udara Israel terhadap Semenanjung Gaza dengan purata seorang kanak-kanak terkorban setiap 15 minit, sekali gus menjadikan golongan itu satu pertiga daripada jumlah kematian.

Sehubungan itu, Save the Children menuntut gencatan senjata segera di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin memburuk.

Memetik laporan Anadolu, badan amal yang berpangkalan di United Kingdom itu memberi amaran jumlah kematian bakal meningkat apabila kehabisan air.

Mengenai ‘keadaan kemanusiaan yang sudah teruk’ di Gaza yang ketika ini berada di bawah ‘pengepungan menyeluruh’ Zionis, Save the Children maklum mengenai amaran oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) tentang isu bekalan air bersih untuk penduduk di wilayah tersebut.

“Orang ramai terutamanya anak kecil tidak lama lagi akan mula mati akibat dehidrasi,” kata UNRWA.

“Air semakin kehabisan dan masa semakin suntuk untuk kanak-kanak Gaza. Tanpa penghujung pertempuran, tanpa gencatan senjata, beribu-ribu nyawa kanak-kanak terancam,” kata Jason Lee, pengarah Save the Children bagi Palestin.

Mengenai laporan kerajaan Israel menyambung semula bekalan air ke selatan Gaza sejak Ahad lalu, NGO itu berkata pam air tidak berfungsi selama empat hari tanpa bekalan elektrik di Semenanjung Gaza.

“Pagi ini, PBB memberi amaran bahawa semua hospital di Gaza dipercayai hanya mempunyai kira-kira 48 jam bahan api yang tinggal untuk mengendalikan penjana sandaran, meletakkan beribu-ribu pesakit, termasuk kanak-kanak pada risiko serta-merta,” ujarnya.

Pengeboman dan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza berterusan 11 hari selepas konflik dengan kumpulan Hamas, dengan lebih satu juta orang kehilangan tempat tinggal, hampir separuh daripada penduduk Gaza, menurut UNRWA.

Pertempuran bermula 7 Oktober apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang yang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Ia berkata pencerobohan itu sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN