GAZA: Harga minyak dunia dilaporkan meningkat lebih tinggi sehari selepas Israel menggempur kawasan Gaza di Palestin dengan pasaran bahan mentah itu dikhuatiri terjejas jika konflik di kawasan tersebut masih berterusan.
HARGA MINYAK NAIK
Menurut penganalisis ekonomi, keganasan itu mencetuskan ketidaktentuan di pasaran global sejak semalam dengan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan dari Iran.
Ketidaktentuan itu membantu memacu minyak mentah Brent naik sehingga AS$4.18 (RM19.78) atau 4.94 peratus, kepada AS$88.76 (RM420.05) setong dalam perdagangan Asia.
Sebarang kenaikan harga minyak yang berterusan akan bertindak sebagai cukai ke atas pengguna dan menambah tekanan inflasi global yang menjejaskan ekuiti apabila niaga hadapan S&P 500 susut 0.7 peratus manakala niaga hadapan Nasdaq kehilangan 0.6 peratus.
Pengarah Urusan Perundingan Tenaga Asia Barat Facts Global Energy, Iman Nasseri berkata, kedua-dua Israel dan Palestin bukanlah pemain minyak utama, tetapi konflik itu terletak di rantau pengeluar serta pengeksport minyak utama.
Justeru konflik tersebut dikhuatiri memberi impak terhadap pasaran global jika ia berkembang menjadi perang serantau.
“Walaupun konflik itu tidak memberi kesan langsung kepada pengeluaran atau bekalan minyak, ia masih di ambang pintu rantau pengeluar dan pengeksport minyak yang penting.
“Kesan ke atas harga minyak mungkin terhad melainkan kita melihat perang antara kedua-dua pihak berkembang dengan cepat kepada perang serantau di mana Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta penyokong parti lain terlibat secara langsung,” katanya kepada CNBC.
Pengarah Urusan KRChoksey Shares, Deven Choksey berkata, reaksi kejutan terhadap serangan itu dikhuatiri boleh mencetus kenaikan harga antara 10 hingga 12 peratus dalam tempoh terdekat.
“AS menyokong Israel dan Presidennya, Joe Biden akan memastikan negara itu membuka rizab minyak mereka untuk mengawal harga sekiranya naik melebihi 10 hingga 12 peratus bagi mengawal inflasi di AS dan juga kerana AS tidak mahu Russia mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi.
“Pasaran akan bertindak balas pada hari Isnin, namun kesannya masih bergantung kepada sejauh mana Israel menyerang Hamas, memandangkan hakikat bahawa perisikan Israel gagal mengesan serangan besar itu pada Sabtu lalu,” katanya.
RAYUAN DUNIA
Pertempuran sengit masih berlaku dengan tentera Israel mendakwa sudah mengerahkan lebih 100,000 anggotanya di sekitar Gaza, kawasan sempit yang menempatkan 2.3 juta penduduk Palestin dan mula memindahkan penduduk Israel di sekitar sempadan.
“Harga yang akan dibayar oleh Semenanjung Gaza bakal menjadi harga yang sangat berat sehingga boleh mengubah realiti untuk beberapa generasi,” kata Menteri Pertahanan, Yoav Gallant ketika melawat bandar Ofakim.
Rayuan untuk menghentikan keganasan datang dari seluruh dunia, walaupun negara-negara Barat sebahagian besarnya menyokong Israel.
Presiden Iran, Ebrahim Raisi dilaporkan menyatakan sokongan kepada ketua Hamas bersama kumpulan pejuang Hezbollah dan penunjuk perasaan di negara Asia Barat.
China, New Zealand dan Australia, sebulat suara menggesa supaya keganasan antara Israel dan Palestin dihentikan.
Kementerian Luar China berkata, pihaknya prihatin terhadap keganasan itu malah menyeru semua pihak supaya bertenang, mengawal diri, menghentikan tembakan, melindungi orang awam dan mencegah tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
China menggesa penyelesaian dua negara yang sudah lama dibincangkan dan penubuhan negara Palestin yang merdeka disegerakan bagi menamatkan keganasan.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengecam serangan tersebut dan menyalahkan Israel atas peningkatan ketegangan itu sambil menegaskan bahawa pendudukan berterusan menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu.
“Sekretariat Agung OIC amat bimbang tentang perkembangan di lapangan dan serangan berbahaya Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
“Pendudukan Israel yang berlarutan dan kegagalannya untuk mematuhi resolusi legitimasi antarabangsa dengan peningkatan kadar serangan dan jenayah harian terhadap rakyat Palestin di tanah mereka selain merampas hak sah mereka adalah sebab utama ketidakstabilan,” menurut badan itu dalam satu kenyataan.
OIC turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menghentikan serangan Israel dan memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin.
Raja Jordan, Raja Abdullah II dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan turut menegaskan keperluan untuk rakyat Palestin dan Israel mengawal tindakan mereka.
Pemimpin Jordan itu turut menekankan peranan penting UAE dalam mengawal keadaan dan menghentikan peningkatan ketenteraan, terutamanya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut kenyataan oleh Mahkamah Diraja Hashemite, baginda juga menegaskan keperluan untuk meningkatkan usaha bersama bagi mengurangkan ketegangan yang tercetus.
Dalam panggilan telefon berasingan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam, Raja Abdullah II juga menegaskan kedudukan Jordan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin, menggariskan keperluan untuk mencari penyelesaian politik yang menjamin semua hak yang adil dan sah bagi rakyat Palestin.-AGENSI