Kelahiran merosot punca banyak hospital bersalin ditutup di China

Kelahiran merosot punca banyak hospital bersalin ditutup di China

WANITA hamil bersenam semasa kelas kecergasan di hospital obstetrik dan ginekologi di Shijiazhuang, China.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Unit obstetrik di beberapa hospital di China dilaporkan ditutup, sekali gus mendorong perbincangan tentang kesan kadar kelahiran yang menurun secara mendadak di negara itu.

Beberapa hospital di wilayah Zhejiang dilaporkan menutup atau mengecilkan unit obstetrik mereka bersama dengan hospital di Jiangsu dan Guangdong.

Pada April lalu, sebuah pusat kesihatan di wilayah Guangxi memaklumkan akan menghentikan tawaran bersalin di unit obstetrik dan ginekologi kerana peningkatan bilangan kehamilan berisiko tinggi di daerah itu.

Bulan lalu pula, hospital di Yinzhou yang terletak di timur bandar Ningbo mengumumkan tidak lagi menawarkan perkhidmatan diagnosis atau rawatan ibu mengandung.

Biro kesihatan tempatan kemudiannya menjelaskan bahawa unit obstetrik sedang disepadukan dengan pusat kesihatan wanita dan kanak-kanak yang baru dibina di hospital Universiti Ningbo, kira-kira 9.6 kilometer jauh dari hospital berkenaan.

Lapor The Guardian, hospital menyalahkan kekurangan kakitangan berbanding kekurangan bayi sebagai punca penghentian perkhidmatan obstetrik yang meliputi rawatan kehamilan, bersalin dan tempoh selepas bersalin.

Dua klinik di Huizhou dan satu di Guangzhou, turut dilaporkan menggantung perkhidmatan semalaman di wad kesihatan ibu mereka kerana kekurangan pakar obstetrik dan pakar sakit puan.

Tetapi beberapa ulasan dalam talian mengaitkan berita itu dengan masalah populasi di China termasuk artikel diterbitkan di laman NetEase yang mendakwa jabatan obstetrik lengang kerana jumlah wanita hamil semakin berkurangan.

Pendapat sama turut disuarakan seorang pakar perbidanan dari hospital penjagaan ibu dan kanak-kanak Harbin dalam temu bual dengan media China baru-baru ini.

“Pada masa lalu, jumlah kelahiran mungkin tujuh, lapan atau mencecah 10 bayi dalam sehari. Tetapi kini boleh menjadi satu setiap beberapa hari. Jika ada satu kelahiran dalam sehari, itu sudah cukup bagus,” katanya.

Kadar kelahiran China jatuh ke paras terendah tahun lalu dengan hanya 9.56 juta kelahiran, penurunan hampir 10 peratus berbanding 2021.

Wanita muda khususnya yang tinggal di bandar sering merasakan kos untuk membesarkan anak terlalu tinggi ketika prospek ekonomi mereka semakin suram walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan termasuk memansuhkan polisi seorang anak bagi satu pasangan pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya