NEW DELHI: Kedutaan Afghanistan di India menggantung operasi lebih dua tahun selepas Taliban kembali berkuasa di Kabul berikutan kejatuhan kerajaan yang disokong Barat.
Kebanyakan negara asing termasuk India tidak mengiktiraf kerajaan Taliban Afghanistan secara rasmi tetapi mengakui mereka sebagai pihak berkuasa yang memerintah secara de facto.
Keadaan itu menyebabkan banyak kedutaan dan konsulat Afghanistan berada dalam keterbatasan, dengan diplomat yang dilantik oleh bekas kerajaan enggan menyerahkan kawalan ke atas bangunan dan harta kedutaan kepada wakil yang dipilih oleh pihak berkuasa Taliban.
“Dengan kesedihan dan kekecewaan yang mendalam, Kedutaan Afghanistan di New Delhi mengumumkan keputusan ini untuk menghentikan operasinya.
“India akan mengawal kedutaan dalam kapasiti penjaga,” kata kenyataan kedutaan itu yang disiarkan di platform media sosial X.
Kenyataan yang tidak ditandatangani itu mendakwa keadaan semakin mencabar untuk meneruskan operasi akibat kekurangan kakitangan dan sumber termasuk sokongan mencukupi bagi pembaharuan visa untuk diplomat.
Penutupan itu berikutan laporan bahawa duta dan diplomat kanan Afghanistan lain sudah meninggalkan India sejak beberapa bulan lalu dengan pertelingkahan berlaku antara mereka yang masih tinggal di New Delhi.
Bagaimanapun kenyataan itu menolak sebarang dakwaan tidak berasas mengenai perselisihan dalaman dalam kalangan kakitangan dan menafikan diplomat menggunakan krisis itu untuk mendapatkan suaka di negara ketiga.
New Delhi memindahkan seluruh misinya dari Kabul ketika Taliban menutup ibu kota Afghanistan pada Ogos 2021, tetapi tahun lalu menghantar pasukan kecil untuk membuka semula kedutaannya yang luas.
Kebanyakan negara asing juga menarik balik kakitangan diplomatik mereka walaupun segelintir kedutaan termasuk Pakistan, China dan Russia tidak pernah ditutup dan masih mempunyai duta di Kabul.-AFP