Kediaman dibedil, rakyat Gaza tidur berbumbungkan langit

Kediaman dibedil, rakyat Gaza tidur berbumbungkan langit

PULUHAN rakyat Palestin keluar dari kawasan kediaman yang musnah teruk di bandar Khan Yunis di Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 338,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Semenanjung Gaza ketika Israel berterusan membedil wilayah Palestin.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) dalam satu kenyataan berkata, perpindahan besar-besaran di seluruh Semenanjung Gaza masih berterusan dan dijangka terus meningkat.

“Menjelang Rabu, jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Gaza meningkat sebanyak 75,000 orang daripada angka yang diberikan 24 jam sebelum itu, mencecah 338,934 orang,” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika Israel menggempur sasaran kumpulan pejuang Hamas di kawasan yang padat dengan 2.3 juta orang di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan mengejut Sabtu lalu.

Tentera Israel berkata, 1,200 orang kebanyakannya penduduk awam terbunuh dalam serangan berkenaan yang turut disifatkan paling buruk dalam sejarah negara itu.

Di Gaza, pegawai melaporkan lebih 1,000 orang terkorban dalam kempen berterusan Israel melalui serangan udara dan artileri.

OCHA berkata, hampir 220,000 orang atau dua pertiga daripada mereka yang dipindahkan, mencari perlindungan di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Hampir 15,000 lagi penduduk Gaza melarikan diri ke sekolah yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Palestin manakala lebih 100,000 orang berlindung di rumah saudara-mara, jiran tetangga, gereja serta kemudahan lain di Bandar Gaza.

Menurut OCHA yang memetik angka dari Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Gaza, kempen pengeboman itu sudah memusnahkan atau menyebabkan sekurang-kurangnya 2,540 unit rumah tidak dapat didiami di Gaza,

Agensi PBB juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemusnahan ketara infrastruktur awam dengan kemudahan kumbahan untuk lebih sejuta orang turut dibedil, menyebabkan sisa pepejal terkumpul di jalanan dan menimbulkan ancaman kesihatan.

Sementara itu, Hamas mendakwa sudah membebaskan seorang wanita Israel dan dua anaknya yang dikatakan ditahan semasa pertempuran dengan tentera Israel.

“Seorang peneroka Israel dan dua anaknya dibebaskan selepas mereka ditahan semasa pertempuran,” kata Briged Ezzedine al-Qassem dalam satu kenyataan.

Rakaman video yang disiarkan oleh televisyen Hamas rangkaian Al-Aqsa menunjukkan seorang wanita berpakaian baju biru bersama dua kanak-kanak di kawasan pagar berduri yang kelihatan berada di antara Israel dan Semenanjung Gaza dengan tiga pejuang Hamas dilihat berjalan meninggalkan mereka.

Bagaimanapun rangkaian televisyen Israel menolak pengumuman itu, mendakwa wanita dan kanak-kanan itu tidak pernah dibawa ke Semenanjung Gaza sementara tentera Israel masih meneliti dakwaan itu.

Saluran TV Haberturk melaporkan, Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan sedang melancarkan proses rundingan dengan Hamas untuk membebaskan tebusan dari Israel malah menawarkan diri untuk menjadi pengantara bagi memulihkan keamanan serta meningkatkan perbincangan dengan rakan sejawatannya di Asia Barat berhubung isu tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya