NEW DELHI: Kapal angkasa pemantau matahari India melintasi titik penting dalam perjalanannya melepasi sfera pengaruh bumi beberapa hari selepas kekecewaan jentera penjelajah bulannya gagal berfungsi.
Misi Aditya-L1 yang memulakan perjalanan selama empat bulan ke arah pusat sistem suria pada 2 September lalu, membawa instrumen untuk memerhati lapisan paling luar matahari.
“Kapal angkasa itu melepasi ruang pengaruh bumi,” kata Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Kapal angkasa yang dinamakan sempena dewa matahari Hindu itu, mengembara sejauh 920,000 kilometer (km), lebih separuh daripada jumlah keseluruhan perjalanan.
Pada titik perjalanan itu, daya graviti kedua-dua badan astronomi terhenti, sekali gus membolehkan misi kekal stabil dalam litar lingkaran orbit di sekeliling bintang terdekat dengan bumi.
“Ini adalah kali kedua berturut-turut ISRO boleh menghantar kapal angkasa di luar sfera pengaruh bumi, kali pertama adalah Misi Orbiter Marikh”, tambah agensi itu.
India berharap untuk memanjangkan misi itu dengan mengaktifkan semula kenderaan berkuasa solar sebaik siang hari kembali ke permukaan bulan.
“Tidak mengapa jika ia tidak bangun kerana rover melakukan apa yang diharapkan,” kata ketua ISRO, S. Somanath.-AFP