Jika Palestin pengganas, Israel itu apa? - Duta Palestin

Jika Palestin pengganas, Israel itu apa? – Duta Palestin

WALID ABU ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin tidak perlu lagi dibuktikan apabila hampir setiap hari ada sahaja rakyat negara itu mati ditembak tentera Israel atau rumah mereka dirobohkan tanpa sebarang sebab.

Namun, dunia seolah-olah ‘butakan mata, pekakkan telinga’ apabila mengecam hebat tindakan Hamas menyerang Israel pada Sabtu lalu.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, sikap berat sebelah yang ditunjukkan dunia ketika ini tidak akan membantu Palestin bebas daripada cengkaman Israel.

Katanya, kekejaman Israel di bumi Palestin adalah benar dan bukannya propaganda yang seperti selalu dilakukan oleh Zionis untuk mengaburi mata dunia.

“Kenapa bila Israel serang Palestin, dunia tidak label mereka sebagai pengganas? Media Barat juga gelarkan pejuang kami sebagai militan, sedangkan kami berjuang untuk kebebasan di tanah sendiri.

“Dunia minta Hamas hentikan serangan terhadap Israel, tapi tiada sesiapa minta Zionis berhenti tindas dan bunuh rakyat kami. Jika kami pengganas, Israel itu apa?

“Ramai yang tanya kenapa Hamas lancarkan serangan besar-besaran kali ini dan saya rasa, masyarakat dunia ada jawapannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Sabtu lalu, Hamas melancarkan serangan besar-besaran terhadap wilayah Israel menerusi Operasi Taufan Al-Aqsa.

Laporan sebelum ini memaklumkan Hamas melancarkan lebih 5,000 roket ke arah Israel, selain melakukan penyusupan menerusi jalan darat, udara dan laut.

Serangan udara yang dilancarkan tentera Israel di Gaza meragut sekurang-kurangnya 413 nyawa penduduk Palestin dengan 78 daripadanya adalah kanak-kanak, manakala Zionis pula mendakwa lebih 700 rakyatnya maut dibunuh pejuang Hamas.

Angka korban juga dijangka meningkat dari semasa ke semasa berikutan masih berlaku serangan balas antara Hamas dan Israel.

Dalam pada itu, Walid meminta Malaysia supaya tidak melupakan Palestin dan terus menyokong negara itu.

“Semua saudara di Malaysia, teruslah sokong Palestin dan teruskan solidariti demi rakyat Palestin. Kami tidak minta lebih, kami hanya mahu bebas di negara sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Walid memaklumkan, penduduk Gaza ketika ini amat perlukan bantuan bekalan asas, termasuk makanan memandangkan banyak infrastruktur musnah dalam konflik yang tercetus.

Katanya, keadaan ketika ini amat genting sehinggakan banyak penduduk berpindah tanpa membawa sebarang kelengkapan demi keselamatan.

“Penduduk Gaza berpindah ke kawasan lebih selamat hanya sehelai sepinggang kerana tiada apa yang boleh dibawa apabila rumah mereka musnah dibedil tentera Israel,” katanya.

Terdahulu, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) menggesa diwujudkan koridor kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan makanan ke Gaza ketika serangan udara Israel melanda kawasan Palestin susulan serangan Hamas.

“Apabila konflik semakin meningkat, orang awam, termasuk kanak-kanak dan keluarga yang terdedah, menghadapi cabaran semakin meningkat dalam akses bekalan makanan penting.

“WFP menggesa akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas, menyeru semua pihak menegakkan prinsip undang-undang kemanusiaan termasuk memastikan akses kepada makanan,” menurut WFP yang berpangkalan di Rom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya