BANGKOK: Majikan di Israel tidak wajar mengumpan warga Thailand dengan wang untuk membuatkan mereka kekal bekerja di wilayah itu.
Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri Srettha Thavisin di tengah-tengah dakwaan pembayaran gaji pekerja tertunggak.
Lapor Bangkok Post, Srettha memaklumkan pihaknya sudah menghubungi Duta Israel, Orna Sagiv untuk membincangkan perkara tersebut.
Dalam perbincangan itu, Srettha mengadu bahawa majikan di Israel sama ada menawarkan gaji tinggi atau melambatkan pembayaran gaji rakyat Thailand sehingga 10 November bagi memaksa mereka kekal berada di wilayah itu.
“Tindakan ini tidak boleh diterima apabila nyawa rakyat Thailand menjadi taruhan.
“Sagiv menyatakan tidak tahu menahu mengenai masalah itu dan menegaskan akan menyiasat perkara itu,” katanya.
Tambah Srettha, beberapa rakyatnya membuat keputusan untuk tidak pulang ke Thailand sebaliknya mahu kekal tinggal di Israel.
“Saya amat memahami kepentingan kewangan golongan pekerja ini.
“Namun, saya mahu semua warga Thailand yang bekerja di sana untuk pulang bagi keselamatan mereka sendiri.
“Kerajaan akan mencari pekerjaan dengan tawaran gaji munasabah bagi golongan tersebut,” katanya.