Insiden Siam Paragon: Thailand perketat kawalan senjata api

Insiden Siam Paragon: Thailand perketat kawalan senjata api

DUA lelaki yang didakwa menjual senjata api kepada suspek remaja yang melepaskan tembakan sehingga meragut dua nyawa di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok pada Selasa lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand melaksanakan langkah kawalan senjata yang diperketat berikutan insiden tembakan di pusat beli-belah di Bangkok yang meragut dua nyawa, baru-baru ini.

Langkah itu termasuk penggantungan permit import dan penjualan semua senjata api, termasuk yang tiruan.

Kementerian Dalam Negeri Thailand ketika ini melaksanakan lapan langkah jangka pendek bagi mengawal selia prosedur mengimport, perdagangan dan pemilikan senjata api.

Timbalan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengumumkan bahawa pemilik senjata api blank dan BB, serta senjata api tiruan, perlu mendaftar dengan pihak berkuasa.

Anutin menegaskan, Jabatan Kastam akan meningkatkan pemeriksaan import senjata api yang boleh diubahsuai menggunakan peluru hidup.

“Selain itu, Pihak Berkuasa Sukan Thailand akan melarang semua padang menembak daripada membenarkan golongan muda di bawah umur 20 tahun berlatih menembak.

“Semua senjata api yang dibawa ke kawasan sasar mesti didaftarkan, dan peluru tidak boleh dikeluarkan. Selain itu, senjata api mesti disimpan di pusat kemudahan,” katanya.

Anutin mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Thailand, Jabatan Kastam, Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital, dan Kementerian Kesihatan Awam untuk membincangkan langkah-langkah jangka pendek dan panjang bagi kawalan senjata susulan insiden Siam Paragon Mall.

Anutin menggariskan kerjasama antara Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat dan Polis Diraja Thailand untuk menutup laman sesawang yang terlibat dalam penjualan haram dan pengubahsuaian senjata api.

Mengenai langkah jangka panjang, Anutin menjelaskan undang-undang dan peraturan kawalan senjata api sedia ada akan tertakluk kepada semakan dan pindaan.

Ini termasuk keperluan untuk pembeli senjata api mempamerkan sijil kesihatan mental yang membuktikan mereka layak memiliki senjata api.

Pemilik senjata api sedia ada akan diwajibkan memperbaharui lesen mereka setiap lima atau 10 tahun, dan menjalani ujian menembak dan pengenalan cap jari.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menggunakan pistol yang telah diubah suai melepaskan tembakan rambang hingga mengakibatkan kematian seorang warga China dan Myanmar manakala lima yang lain cedera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya