JAKARTA: Unit memerangi keganasan Indonesia menahan 59 suspek anggota militan, termasuk beberapa penyokong setia Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang disyaki merancang untuk mengganggu pilihan raya akan datang.
Seramai 19 daripada suspek ditahan adalah daripada rangkaian Jemaah Islamiah (JI) yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, manakala 40 lagi suspek JAD, yang menjalinkan hubungan dengan DAESH.
Jurucakap pasukan petugas anti-keganasan Densus 88, Aswin Siregar, berkata anggota militan JAD disyaki merancang serangan untuk mengganggu pilihan raya presiden dan perundangan pada 14 Februari depan.
“Bagi mereka, pilihan raya adalah tidak bermoral dan bertentangan dengan undang-undang Islam.
“Jadi mereka merancang untuk menyerang kemudahan polis, ia berkaitan dengan matlamat utama mereka iaitu untuk membatalkan pilihan raya,” kata Aswin pada sidang media tanpa memberi butiran lanjut mengenai komplot yang disyaki.
Beliau berkata, semua suspek itu ditahan dalam operasi dari 2 hingga 28 Oktober lalu, malah polis turut merampas beberapa senjata api dan bahan kimia untuk membuat bom.
Indonesia adalah negara Islam paling ramai penduduk di dunia dan ia menyaksikan rentetan serangan pengganas selepas 11 September 2001, termasuk pengeboman di pulau percutian Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong Australia.
Pengeboman Bali dipercayai didalangi oleh JI, bagaimanapun penganalisis keselamatan berkata, ancaman militan sudah berkurangan dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan sebahagian besarnya disebabkan operasi pasukan keselamatan yang berjaya.
Aswin turut memberi amaran bahawa protes dan pengumpulan dana pro-Palestin sejak keganasan di Timur Tengah baru-baru ini boleh mencetuskan kemarahan dan serangan militan.
“Ini menimbulkan keghairahan untuk melakukan tindakan pengganas,” katanya. – REUTERS