NEW DELHI: India bakal membenarkan eksport beras putih bukan basmati ke beberapa negara, termasuk Filipina yang merupakan antara pengimport terbesar beras dari negara tersebut.
India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia menyekat penghantaran beras putih bukan basmati ke luar negara pada Julai lalu, sebelum mengenakan duti eksport sebanyak 20 peratus ke atas beras rebus atau parboil bagi memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi.
Namun, Delhi memaklumkan pengecualian itu mungkin boleh diberikan kepada beberapa negara yang amat memerlukan.
Katanya, India akan membekalkan 295,000 tan beras putih bukan basmati ke Filipina.
Filipina yang kebiasaannya bergantung kepada Vietnam untuk memenuhi keperluan import berasnya kini berusaha keras untuk menurunkan kadar inflasi ketika Presidennya, Ferdinand Marcos Jr menetapkan harga siling beras.
Selain Filipina, India juga akan membekalkan beras tersebut ke Nepal, Cameroon, Malaysia, Republik Guinea, Ivory Coast dan Seychelles.
Secara kumulatif, India akan membekalkan lebih 1 juta tan metrik beras ke tujuh negara berkenaan.
Pada Ogos lalu, India mengeksport beras ke Bhutan, Mauritius dan Singapura.
Dalam pada itu, tidak dapat dipastikan sama ada India akan melanjutkan penghantaran beras tersebut sehingga semua hasil tuaian padi dikumpul basi musim ini.
Ketika ini, para petani India baru sahaja menuai padi dan hasilnya dilaporkan tidak menurun dan seperti dijangka ekoran musim hujan sebelum ini.