NEW DELHI: Sebuah mahkamah di India membebaskan dua lelaki yang menghabiskan masa hampir dua dekad dalam penjara setelah dijatuhi hukuman mati atas tuduhan merogol serta membunuh 19 wanita dan kanak-kanak pada tahun 2005.
Lapor BBC, ahli perniagaan, Moninder Singh Pandher dan pembantu rumahnya, Surinder Koli disabitkan kesalahan pada 2009 dalam insiden ngeri yang menggemparkan seluruh negara.
Kedua-dua lelaki itu ditahan pada 2006 selepas beberapa bahagian tubuh badan mayat mangsa ditemukan berhampiran rumah mereka di kampung Nithari, pinggir bandar Delhi.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Allahabad membebaskan Surinder dalam 12 kes serta mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.
Mahkamah juga memerintahkan Moninder dibebaskan dalam dua kes yang didapati bersalah.
Menurut peguam bela Moninder dan Surinder, kedua lelaki itu dibebaskan disebabkan kekurangan bukti.
Setakat ini, penghakiman penuh berhubung kes itu masih belum dikeluarkan.
Pembunuhan itu terbongkar pada 2006 selepas cebisan mayat mangsa yang disumbat dalam beg plastik dan pakaian kanak-kanak ditemukan dalam betung di hadapan rumah Moninder.
Dilaporkan, sekurang-kurangnya 19 wanita muda dan kanak-kanak dirogol dan dibunuh dengan mayat mereka dikerat-kerat.
Ketika itu, polis mendakwa pembunuhan tersebut berlaku di dalam rumah Moninder yang mana Surinder bekerja sebagai pembantu rumah.
Polis turut mendakwa mangsa diumpan hingga mati oleh Surinder yang menawarkan mereka gula-gula dan coklat.
“Semasa siasatan, Surinder mengaku melakukan kanibalisme dan nekrofilia namun dia kemudian menarik balik pengakuannya di mahkamah dengan mendakwa dia telah dipukul dan dipaksa sebut demikian,” kata polis.
Polis Persekutuan India, Biro Siasatan Pusat (CBI) memfailkan 19 kes terhadap kedua-dua lelaki itu berhubung pembunuhan itu.