KAHERAH: Seorang wanita yang membunuh anaknya berusia lima tahun secara kejam dengan memenggal kepala serta bertindak memakannya, diisytiharkan sebagai tidak siuman oleh sebuah mahkamah di Mesir.
Lapor Daily Mail, Hanaa Mohamed Hassan, 29, dibicarakan atas kes pembunuhan anaknya, Youssef namun barisan hakim memutuskan bahawa wanita itu tidak layak untuk membuat pengakuan.
Sebaliknya, menerusi penghakiman didedahkan pada 30 September lalu, mereka memaklumkan Hanaa membunuh kanak-kanak itu ketika `dalam keadaan tidak siuman’ dan harus ditahan di unit psikiatri.
Mahkamah Zagazig dimaklumkan Hanaa ditahan selepas bapa saudara mangsa menemukan beberapa bahagian tubuh badan Youssef di dalam baldi di kediamannya di Faqus, utara Mesir.
Susulan penahanan wanita itu, polis memberitahu Hanaa juga mengaku makan sebahagian kepala Youssef yang dipenggal kerana `mahu anaknya kekal berada bersamanya selama-lamanya’.
Dilaporkan, Hanaa memukul kepala anaknya selama empat kali sebelum memenggal kepala dan mengerat badannya di dalam bilik air.
Wanita itu juga memasak kepala dan bahagian lain tubuh badan anak itu dalam air mendidih di atas dapur sebelum memakannya.
Sebelum keputusan mahkamah, pasukan pendakwa raya menegaskan Hanaa membunuh anaknya kerana takut mungkin kehilangan hak penjagaan budak itu kepada bekas suaminya.
Laporan awal psikiatri mendedahkan wanita itu bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatannya.
“Ia sudah dirancang memandangkan dia memperoleh kayu dan parang serta berupaya mengunci semua pintu dan tingkap di rumahnya sebelum kejadian tersebut,” jelas laporan.
Selepas penahanannya, Hanaa mendakwa kepada polis di Faqous bahawa dia menghidap penyakit mental dan tidak berniat membunuh anaknya.
Hanaa diperintah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Kesihatan Mental dan Neurologi Abbasiya di Kaherah.