Ibu menang kes mahkamah usir anak pemalas keluar dari rumah - Utusan Malaysia

Ibu menang kes mahkamah usir anak pemalas keluar dari rumah

WANITA warga emas memenangi kes mahkamah untuk mengusir dua anak lelakinya yang masih menumpang tinggal di rumahnya di bandar Pavia di utara Itali.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Seorang wanita Itali baru-baru ini memenangi kes mahkamah untuk mengusir dua anak lelakinya dari rumah gara-gara mereka enggan meninggalkan kediamannya walaupun sudah bekerja.

Wanita berusia 75 tahun dari bandar Pavia di utara Itali dilaporkan sudah lama cuba menyuruh dua anaknya yang berusia 42 dan 40 tahun supaya berpindah dari rumah keluarga kerana mereka berdua mempunyai pekerjaan dan mampu menyewa kediaman sendiri.

Akibat berang dengan anaknya yang tidak mengendahkan arahan itu, ditambah dengan sikap mereka yang tidak memberi sebarang sumbangan kewangan atau melakukan kerja rumah, warga emas itu nekad membawa kedua-duanya ke mahkamah.

Kes aneh itu diakhiri dengan keputusan Hakim, Simona Caterbi yang bersimpati dengan si ibu dan mengeluarkan notis pengusiran terhadap dua lelaki berkenaan.

Dalam keputusannya hakim berhujah bahawa, walaupun menjadi kewajipan ibu bapa untuk menyediakan nafkah kepada cahaya mata mereka sehingga mencapai umur 18 tahun, tanggungjawab itu tidak lagi wajar apabila anak-anak sudah mencecah usia 40-an.

Dua ‘bayi besar’ itu kini dilaporkan diberi masa sehingga 18 Disember untuk berpindah dari rumah ibu mereka.

Itali merekodkan antara jumlah tertinggi golongan dewasa yang masih tinggal bersama ibu bapa dengan data terkini sepanjang tahun lalu menunjukkan hampir 70 peratus warga berumur 18 hingga 34 tahun masih menghuni di rumah keluarga.

Namun, kes di mana notis pengusiran terhadap anak-anak untuk meninggalkan ‘sarang’ mereka sangat jarang berlaku di negara itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya