SINGAPURA: Satu kajian mendedahkan kehilangan kawasan hutan disebabkan oleh pengeluaran getah di Asia Tenggara boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding anggaran sebelum ini.
Pasukan penyelidik antarabangsa memberi amaran peningkatan permintaan global untuk getah memberi tekanan ke atas hutan semula jadi dan mendorong kehilangan biodiversiti, dengan Asia Tenggara bertanggungjawab untuk 90 peratus pengeluaran dunia menanggung beban berat itu.
Menurut para penyelidik, data terdahulu menunjukkan getah dilihat sebagai masalah kecil apabila melibatkan isu penebangan hutan berbanding komoditi lain seperti soya dan minyak sawit.
Namun, data satelit resolusi tinggi menunjukkan jumlah kehilangan kawasan hutan `melebihi’ daripada anggaran sebelum ini.
Satelit resolusi tinggi itu digunakan bagi membantu mengenal pasti lebih banyak ladang dikendalikan oleh pekebun kecil.
Menurut pasukan penyelidik, lebih empat juta hektar kawasan hutan sudah hilang kepada ladang getah sejak tahun 1993, dengan dua pertiga daripadanya di Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Lebih 14 juta hektar tanah di rantau itu termasuk wilayah Yunnan dan Hainan yang merupakan pengeluar getah utama China, menumpukan kepada getah.
Jumlah itu meningkat daripada 10 juta hektar tanah pada tahun 2020.
Jumlah kerugian mungkin jauh lebih tinggi, dengan banyak ladang digunakan semasa peningkatan permintaan getah 20 tahun lalu, kini ditukar kepada kegunaan lain berikutan kejatuhan harga pada tahun 2011.
Kertas kerja mengenai kajian itu disiarkan dalam jurnal Nature. – AGENSI