MUMBAI: Taburan hujan musim monsun di India tahun ini direkodkan paling rendah sejak 2018 apabila fenomena El Nino menjadikan bulan Ogos sebagai bulan terkering dalam tempoh lebih seabad.
Musim monsun yang penting untuk ekonomi India yang bernilai AS$3 trilion (RM14.1 trilion), membawa hampir 70 peratus keperluan hujan untuk negara ini bagi memastikan semua hasil tanaman hidup subur, selain menjadi bekalan air untuk masyarakat.
Hampir separuh daripada tanah pertanian di negara ini mengalami masalah kekurangan sistem pengairan, sekali gus bergantung kepada musim monsun untuk menyuburkan tanaman.
Kekurangan hujan boleh menyebabkan makanan ruji seperti gula, kekacang, beras dan sayur-sayuran menjadi lebih mahal, selain meningkatkan inflasi makanan secara keseluruhan.
Pengeluaran yang lebih rendah juga boleh mendorong India yang merupakan pengeluar beras, gandum dan gula kedua terbesar dunia untuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap eksport komoditi.
Taburan hujan di negara ini sepanjang Jun hingga September ini direkodkan sebanyak 94 peratus daripada purata tempoh panjangnya, sekali gus menjadi yang paling rendah sejak 2018.
Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), negara ini dijangka mengalami defisit hujan sebanyak empat peratus untuk musim ini, dengan mengandaikan ia kesan daripada El Nino.
Dalam pada itu, Ogos pula menjadi bulan paling kering, namun negara ini menerima 13 peratus lebih hujan daripada biasa pada September.
Pengagihan hujan monsun yang tidak menentu menyebabkan India yang merupakan pengekport beras utama dunia mengehadkan eksport bahan komoditi itu, mengenakan duti 40 peratus terhadap eksport bawang, membenarkan import bebas cukai kekacang, selain berpotensi mengakibatkan New Delhi mengharamkan eksport gula selepas ini.
India dijangka menerima taburan hujan seperti biasa sepanjang Oktober hingga Disember dan suhu juga berkemungkinan kekal di paras normal di kebanyakan kawasan. – REUTERS