PARIS: Hartawan dan ketua pegawai eksekutif konglomerat LVMH, Bernard Arnault dan oligarki Russia, Nikolai Sarkisov kini sedang disiasat atas dakwaan pengubahan wang haram membabitkan sebuah pusat peranginan mewah Alpine.
Lapor Daily Mail, pasukan pendakwa raya Paris memaklumkan siasatan itu melibatkan aktiviti kedua-dua individu di Courchevel, sebuah pusat peranginan ski di Pergunungan Alps Perancis.
Sebelum ini, majalah Forbes pernah menyenaraikan Bernard Arnault sebagai individu terkaya di dunia dengan nilai kekayaan bersih mencecah AS$184 bilion (RM864.8 bilion).
Bagaimanapun, berdasarkan laporan Bloomberg Billionaires, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk merampas semula kedudukan individu terkaya dunia itu dengan mencatatkan nilai kekayaan mencecah AS$192 bilion (RM886 bilion), sekali gus mengatasi Bernard yang kini jatuh di tempat kedua.
Menurut sumber rapat pasukan penyiasat, unit risikan kewangan khas di Kementerian Ekonomi Perancis mengetuai penyiasatan berkenaan.
Bagaimanapun, jelas sumber, unit risikan itu masih belum dapat menentukan sama ada jenayah telah dilakukan atau tidak.
Difahamkan, kedua-dua individu itu menafikan melakukan sebarang salah laku.
Akhbar Le Monde memetik kenyataan unit risikan kewangan Tracfin melaporkan bahawa hartawan Russia berusia 55 tahun itu membeli sebanyak 14 buah kediaman daripada penjual pada 2018 pada harga 16 juta euro (RM79.61 juta) dalam urus niaga rumit melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di Perancis, Luxembourg dan Cyprus.
Walaupun individu itu dipercayai merupakan pembeli namun nama Sarkisov tidak muncul dalam rekod syarikat yang melakukan urus niaga pembelian tersebut.
Syarikat dikenali sebagai La Fleche, didakwa membeli tiga lagi unit hartanah daripada syarikat kedua yang dipercayai turut milik Sarkisov.
Berdasarkan laporan itu, dakwaan penjualan hartanah kepada syarikat miliknya menyebabkan warga Russia itu memperoleh keuntungan modal sebanyak 1.2 juta euro (RM5.97 juta).
Arnault dikatakan meminjamkan 18.3 juta euro (RM91.05 juta) kepada Sarkisov untuk urus niaga berkenaan.
Beliau kemudian dipercayai memperoleh La Fleche, dengan menjadi pemilik portfolio hartanah itu serta-merta.
“Perubahan hak milik itu mungkin direka untuk menyembunyikan asal usul sebenar dana,” lapor Le Monde dengan memetik dokumen Tracfin serta identiti `penerima akhir’.
Pasukan penyiasat percaya Sarkisov memperoleh sebanyak 2 juta euro (RM9.95 juta) hasil urus niaga tersebut, namun mereka masih tidak jelas jumlah individu itu sudah bayar untuk pinjaman berkenaan.