ROM: Harga gula dunia dilaporkan melonjak ke paras tertinggi sejak hampir 13 tahun pada bulan lalu, berikutan fenomena El Nino yang melanda negara pengeluar bahan itu di India dan Thailand.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), biarpun harga makanan dunia stabil secara keseluruhan bulan lalu, namun indeks harga gula melonjak sebanyak 9.8 peratus berbanding Ogos.
FAO yang merupakan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, jumlah kenaikan itu adalah tertinggi sejak November 2010.
Menurutnya, indeks harga gula FAO kini meningkat selama dua bulan berturut-turut berikutan wujudnya kebimbangan yang semakin tinggi terhadap prospek bekalan global yang lebih ketat pada musim 2023 dan 2024.
Jelas FAO, ia mencerminkan ramalan awal yang menunjukkan pola penurunan pengeluaran oleh pengeluar gula utama iaitu Thailand dan India, disebabkan keadaan cuaca yang lebih kering daripada biasa, dikaitkan dengan El Nino.
Tambah agensi PBB itu lagi, harga minyak mentah antarabangsa yang lebih tinggi juga menyumbang kepada kenaikan harga gula dunia.
El Nino, suatu corak iklim yang berlaku secara purata setiap dua hingga tujuh tahun, lazimnya dikaitkan dengan pemanasan suhu di permukaan lautan di tengah dan timur Lautan Pasifik tropika.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia PBB, fenomena itu yang kebiasaannya bermula pada Julai, berterusan antara sembilan hingga 12 bulan.