Harga beras terus mahal, rakyat Indonesia kurangkan makan nasi - Utusan Malaysia

Harga beras terus mahal, rakyat Indonesia kurangkan makan nasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mengalami lonjakan harga beras mencecah rekod tertinggi pada bulan ini, dengan gerai makanan dan orang ramai terpaksa mengurangkan hidangan nasi dan membeli beras yang lebih murah.

Setakat hari ini, harga beras gred sederhana mencecah paras tertinggi 13,910 rupiah (RM4.16) sekilogram, melonjak 20 peratus berbanding Januari.Kenaikan harga makanan akan menjadi isu utama bakal ditangani calon presiden Indonesia dalam kempen menjelang pilihan raya yang dijangka pada 14 Februari depan.

Kenaikan harga beras berpunca daripada cuaca kering akibat fenomena cuaca El Nino yang mengakibatkan sawah padi kering kontang sejak tiga bulan lalu di negara terbabit.

Negara lain juga juga terjejas akibat cuaca kering itu termasuk di India Julai lalu sehingga memaksa pengeksport beras terbesar dunia itu menyekat eksport beras berikutan kenaikan harga makanan, inflasi tinggi dan kebimbangan kekurangan beras akibat gangguan El Nino.

Seorang aktivis di Kesatuan Peladang Indonesia, Angga Hermanda memberitahu akhbar Straits Times bahawa beberapa wilayah dengan sistem pengairan yang lemah termasuk sebahagian wilayah Banten di Jawa terjejas akibat cuaca kering melampau, mengakibatkan penurunan pengeluaran padi.

Katanya, keadaan itu juga mendorong sebilangan petani di Banten dan Jawa Tengah beralih kepada penanaman jagung untuk menampung kekurangan bekalan air.

“Risiko tinggi untuk bersawah padi jika hanya mengharapkan tadahan hujan.

“Hanya mereka yang bergantung kepada pengairan masih menjalankan kegiatan pertanian seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, firma sekuriti, Bahana Sekuritas, dalam nota penyelidikannya, memaklumkan kenaikan harga beras sejak kebelakangan ini membimbangkan.

Ini berikutan Indonesia sudah melepasi musim menuai atau tempoh pengeluaran padi puncak dengan kemungkinan mengakibatkan tekanan inflasi akhir tahun susulan musim cuti dan pilihan raya akan datang.

Kerajaan Indonesia berusaha membendung kenaikan itu dengan melepaskan stok berasnya pada harga yang lebih rendah di pasaran tradisional.

Indonesia, tidak seperti negara pengeluar padi besar lain seperti India dan Vietnam, menggunakan sebahagian besar hasil tanaman padinya untuk kegunaan domestik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya