Hamas sedar akibat serang Israel, mahu bebaskan Palestin dari Zionis

Hamas sedar akibat serang Israel, mahu bebaskan Palestin dari Zionis

PASUKAN tentera Hamas dipilih oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk mentadbir dan menjaga keselamatan daripada kekejaman rejim Zionis. - REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Perang antara Hamas dan Israel yang berlangsung ketika ini disifatkan konflik paling buruk bagi kedua-dua pihak.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 4,137 rakyat Palestin terbunuh dan 13,000 cedera sepanjang konflik berlaku.

Selain itu, lebih 1,400 penduduk Yahudi di Israel maut dengan kebanyakannya terbunuh pada hari pertama Hamas melancarkan serangan ke wilayah itu pada 7 Oktober lalu.

Menurut ketenteraan Israel, dianggarkan 203 penduduk Yahudi dijadikan tebusan oleh Hamas dan dibawa ke Gaza.

HAMAS SEDAR AKIBAT SERANG ISRAEL

Dalam pada itu, pegawai kanan Hamas, Khaled Mashal memberitahu kepada Arab News, kumpulan itu menyedari setiap aspek dan akibat yang bakal diterima oleh rakyat Palestin selepas menyerang Israel.

Katanya, serangan terhadap Israel itu disifatkan sebagai ‘penentangan yang sah’ demi kedaulatan dan kebebasan Palestin.

“Kami menyedari kesan yang akan berlaku selepas serangan 7 Oktober, kami tahu apa yang akan berlaku.

“Tapi, kami tidak boleh terus berdiam diri dan membiarkan Zionis terus menjajah Palestin, menindas rakyat kami.

“Ini (serang Israel) merupakan satu daripada cara untuk beritahu dunia yang Palestin sanggup lakukan apa sahaja untuk bebas daripada cengkaman Zionis,” katanya.

Jelas Khaled, ‘pengorbanan’ perlu dilakukan untuk kebebasan dan beliau juga memberi contoh berkaitan Kesatuan Soviet ketika Perang Dunia Kedua dan perang Vietnam dengan AS, penolakan Afghanistan terhadap pendudukan AS dan pertempuran Algeria bagi meraih kemerdekaan.

“Rakyat Palestin sama seperti penduduk negara lain, tiada negara bebas tanpa sebarang pengorbanan.

“Israel akan bunuh kami, tidak kira kami menentang atau tidak.

“Dalam peperangan, pasti akan ada mangsa yang terdiri daripada penduduk awam dan kami secara jelas menyasarkan tentera Zionis,” ujarnya.

Ditanya sama ada Hamas akan memohon maaf berhubung kematian penduduk awam di Gaza, Khaled membalas, rejim Zionis yang perlu mohon maaf atas apa yang berlaku.

Katanya, Hamas tidak membunuh orang sesuka hati seperti yang Israel lakukan.

“Apabila mana-mana pihak dijajah, ditindas, adalah semula jadi untuk bertindak menentang dan tiada sesiapa mempunyai hak bertanya kepada Palestin kenapa Hamas menyerang Israel,” tegasnya.

TEBUSAN SIHAT

Selain itu, dua tebusan AS yang dibebaskan Hamas semalam dilaporkan dalam keadaan sihat dan baik.

Judith Raanan dan anak perempuannya, Natalie Raanan tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun masalah kesihatan.

Perkara itu disahkan oleh bapa Natalie, Uri Raanan kepada agensi berita AP.

“Mereka dalam keadaan baik dan saya amat gembira kerana mereka akhirnya dibebaskan.

“Tiada apa yang saya mampu ucapkan selain bersyukur mereka sihat dan selamat,” katanya.

TRAK KEMANUSIAAN MULA MASUK GAZA

Dalam pada itu, AP memetik pegawai kerajaan Mesir melaporkan, sejumlah trak yang membawa bantuan kemanusiaan sudah memasuki Gaza melalui lintasan Rafah.

Bantuan itu dijangka memberi kelegaan kepada kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza yang sebelum ini terputus bekalan asas selepas diserang tentera Israel.

Sebelum ini, Presiden As, Joe Biden memaklumkan sebanyak 20 trak akan masuk ke Gaza kelmarin, namun lintasan Rafah tidak dibuka kerana struktur jalannya perlu dibaiki. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya