LONDON: Satu garis panduan kesihatan dikeluarkan oleh sebuah hospital di England meminta wanita mengandung untuk menggenggam sikat dengan kuat agar dapat mengatasi kesakitan ketika bersalin.
Lapor Daily Mail, teknik aneh itu disarankan sebagai kaedah melegakan kesakitan oleh wad bersalin di Surrey and Sussex NHS Healthcare Trust.
Pengurusan hospital menerusi hantaran di laman Instagram memaklumkan kaedah itu mampu membantu para wanita mengandung mengatasi kesakitan kontraksi ketika bersalin.
Garis panduan itu mendakwa hujung gigi sikat mampu mengaktifkan `titik akutekanan’ pada celahan tapak tangan sekaligus mengalihkan perhatian daripada kesakitan dan mencetuskan pembebasan hormon rasa baik.
Bagaimanapun, kaedah itu menerima reaksi berbeza daripada rata-rata warganet.
“Apabila sikat dipegang kuat di tapak tangan anda, tekanan mengalihkan perhatian otak anda dan membantu badan membebaskan endorfin.
“Ia berdasarkan teori pain gate control yang mendakwa otak anda hanya boleh menumpukan pada beberapa situasi pada suatu masa.
“Hujung saraf tangan anda berada dekat dengan permukaan kulit, oleh itu, isyarat tekanan dihantar ke otak boleh mengatasi isyarat sakit yang dihantar ke minda daripada kontraksi,” jelas pengurusan hospital itu.
Jelas hantaran itu, kaedah lain juga berfungsi pada teori tersebut termasuk mesin simulasi saraf, urutan, tekanan sakral dan pek haba.
Sekeping gambar memaparkan imej wanita sedang bersalin sambil memegang sikat dengan nota tertera meminta wanita membawa sikat bersama mereka ketika ke hospital, turut dikongsi dalam hantaran tersebut.