ROM: Kira-kira 500,000 penduduk yang tinggal di sekitar Campi Flegrei berhampiran Naples di Itali berada dalam risiko sekiranya letusan gunung berapi berlaku.
Ia susulan gempa bumi berukuran 4.0 magnitud melanda wilayah itu, dengan ramai penduduk menyiarkan rakaman bangunan mengalami kerosakan kecil dan kereta terkena serpihan runtuhan di tengah-tengah gegaran paling teruk.
Lapor Daily Mail, gempa bumi itu yang merupakan terbaharu dalam siri gegaran minggu lalu, menyebabkan panik dalam kalangan penduduk tempatan yang bertempiaran lari ke jalanan di tengah-tengah kebimbangan berlaku letusan gunung berapi.
Kawasan sekitar gunung berapi Campi Flegrei (Phlegraean Fields) yang kali terakhir meletus pada 1538, menjadi lokasi peningkatan aktiviti seismik sejak kebelakangan ini dengan beberapa siri gegaran.
Campi Flegrei adalah gunung berapi aktif terbesar di Eropah yang mana kira-kira setengah juta penduduk tinggal di kawasan sekitarnya.
Minggu lalu, gempa bumi berukuran 4.2 magnitud melanda Campi Flegrei yang terletak di barat Naples.
Dilaporkan, ia merupakan gempa bumi paling kuat pernah dialami di kawasan gunung berapi itu dalam tempoh 40 tahun.
Malah, beberapa penduduk tempatan berang dengan agensi perlindungan awam yang lambat memberikan respon terhadap bencana itu.
Seorang wanita mendakwa pasukan pertahanan awam mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke tempat kejadian.
Menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV), pusat gempa bumi berlaku kelmarin terletak pada kedalaman hampir 3.21 kilometer (km) antara Naples dan Pozzuoli.
Pengarah INGV, Mario Di Vito memberi amaran kemungkinan akan berlaku `gegaran lebih kuat’ dalam masa terdekat.
“Aktiviti seismik akan berterusan, tiada keraguan mengenai perkara ini,” katanya.
Tambah INGV, gegaran yang berterusan hanya akan menyebabkan tekanan meningkat, sekali gus mencetuskan letusan.