Filipina desak China henti provokasi berbahaya di Laut China Selatan

Filipina desak China henti provokasi berbahaya di Laut China Selatan

KAPAL Pengawal Pantai China memintas misi bekalan semula oleh tentera Filipina di kawasan perairan Second Thomas Shoal di Laut China Selatan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Tentera Filipina menggesa China menghentikan tindakan berbahaya dan tidak selamat di kawasan Laut China Selatan.

Gesaan itu dibuat selepas sebuah kapal tentera laut China cuba mengekori dan memintas kapal tentera laut milik Filipina yang menjalankan misi bekalan semula minggu lalu.

Menurut Ketua Angkatan Tentera Filipina, Romeo Brawner, sebuah kapal angkatan laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menghampiri sekitar jarak 320 meter ketika cuba menyeberang di hadapan kapal Filipina berhampiran pulau Thitu yang merupakan pos paling penting dan pusat strategik terbesar Manila di Laut China Selatan.

“Pergerakan berbahaya dan menyinggung oleh anggota PLA bukan sahaja berisiko mencetus perlanggaran tetapi juga secara langsung membahayakan nyawa anggota maritim dari kedua-dua pihak,” kata Brawner dalam satu kenyataan.

Kedutaan China di Manila masih belum menjawab permintaan untuk mengulas mengenai isu tersebut.

Insiden tersebut merupakan provokasi terbaharu China dalam siri percubaannya untuk memantau dan menyekat misi pembekalan semula kakitangan Filipina di kawasan yang diduduki Manila di zon ekonomi eksklusif Filipina di Laut China Selatan.

China menuntut kedaulatan kepada hampir keseluruhan Laut China Selatan yang menyumbang lebih AS$3 trilion (RM14.2 trilion) perdagangan di laluan berkenaan setiap tahun.

Hubungan antara Manila dan Beijing semakin tegang sejak Presiden Filipina, Ferdinand Marcos meneruskan kerjasama lebih erat dengan Washington, termasuk meningkatkan akses Amerika Syarikat (AS) kepada lebih banyak pangkalan tentera Filipina.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya