DUBLIN: Mayat seorang wanita yang dilaporkan hilang pada Mac 2017 akhirnya ditemukan anggota polis Ireland baru-baru ini selepas lebih enam tahun tersorok di bawah tangga kediamannya.
Tina Satchwell dilaporkan hilang oleh suaminya Richard pada Mac 2017 dan tidak pernah dilihat sejak itu.
Tetapi pasukan detektif dilaporkan berjaya mengenal pasti rangka manusia yang ditemukan di kediaman pasangan berkenaan di bandar Youghal di wilayah Cork Rabu lalu sebagai wanita berusia 45 tahun itu.
Pihak berkuasa menggeledah rumah di bandar tepi laut itu apabila anjing pengesan membawa polis ke ruang di bawah tangga yang pernah dijadikan tandas, di mana mayat Tina yang dibalut dengan plastik kemudiannya ditemukan.
Richard ditahan dan disoal siasat berhubung penemuan itu dan dihadapkan ke mahkamah kelmarin atas tuduhan berkaitan pembunuhan isterinya.
Lelaki berusia 50 tahun itu sebelum ini mendakwa Tina menghilangkan diri secara tiba-tiba bersama wang tunai berjumlah 20,000 euro (RM99,435) dan hanya membuat laporan polis selepas empat hari isterinya itu dikatakan tidak pulang ke rumah.
Kes kehilangan Tina membabitkan lebih 400 soal siasat, sekitar 200 jam penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan penglibatan Polis Antarabangsa (Interpol).-AGENSI