BRUSSELS: Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Zelensky seakan cemburu apabila terpaksa berusaha keras untuk kembali mendapatkan sokongan Barat di Kyiv ketika perhatian dunia sudah beralih ke arah peperangan di Asia Barat.
Ketika Zelensky dibawa menyertai sidang media oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg di Brussels senyuman yang terukir kelihatan pudar dan wajahnya bertukar muram.
Buat pertama kali, Zelensky dijemput ke ibu pejabat pertubuhan tersebut Rabu lalu sejak permulaan pencerobohan besar-besaran Russia terhadap Ukraine.
Namun Presiden Ukraine itu terpaksa melayani pertanyaaan tentang krisis yang kini lebih menarik perhatian dunia berbanding pencerobohan Moscow iaitu konfik antara Hamas dan Israel.
“Kami masih dalam peperangan dan kami faham situasi ketika mengalami serangan.
“Saya masih ingat hari-hari pertama perang. Begitu ramai orang yang mati, jadi adalah sangat penting untuk tidak bersendirian. Jadi syor saya untuk para pemimpin NATO ialah mereka pergi ke Israel dan menyokong penduduknya.
Zelensky cuba meletakkan Russia dan Hamas dalam kelompok sama dan bijak mengatur jawapan walaupun jelas terlihat cuba menyembunyikan kekecewaannya apabila serangan di Kyiv tidak lagi mendominasi tajuk berita.
Dalam ucapan yang disiarkan di media sosial Isnin lalu, Zelensky juga mendakwa Moscow cuba mengambil kesempatan dalam serangan Israel di Gaza.
“Russia berminat untuk mencetuskan perang di Asia Barat, supaya sumber kesakitan dan penderitaan baharu boleh menjejaskan perpaduan dunia, meningkatkan perselisihan dan percanggahan, justeru membantu Russia memusnahkan kebebasan di Eropah,” katanya.
Lapor CNN, Ukraine turut gementar apabila ahli Parlimen Republikan enggan memasukkan pembiayaan untuk negara yang dilanda perang itu dalam rang undang-undang perbelanjaan jangka pendek bagi mengelakkan penutupan kerajaan di Washington minggu lalu.
Tumpuan berlebihan Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel juga mencetuskan kebimbangan bantuan yang diterima dari negara itu semakin berkurangan dalam tempoh terdekat.