BRUSSELS: Dua warga Sweden ditembak mati oleh seorang lelaki bersenjata dalam satu kejadian berlaku di ibu negara Belgium, kelmarin.
Perdana Menteri Belgium menyifatkan serangan tersebut sebagai keganasan.
Media Belgium juga mendedahkan suspek bernama Abdesalem L, 45, berasal dari Tunisia yang menetap di Brussels melarikan diri menggunakan skuter susulan insiden tersebut.
Berikutan kejadian itu, pihak berkuasa Belgium mengeluarkan amaran ancaman keganasan tahap empat iaitu yang tertinggi bagi Brussel, dan tahap tiga untuk peringkat nasional sebelum suspek maut ditembak polis.
Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo berkata, tembakan itu menyasarkan warga Sweden.
Katanya, beliau juga menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Sweden berikutan serangan mengerikan terhadap rakyat negaranya di Brussels.
Dilaporkan, serangan itu berlaku sebelum perlawanan bola sepak kelayakan Euro Belgium-Sweden.
Berdasarkan laporan media Belgium, dua individu yang terbunuh itu memakai baju bola sepak milik pasukan kebangsaan Sweden menjelang perlawanan antara Sweden dan Belgium.
Seorang lagi individu dilaporkan mengalami kecederaan dalam serangan itu namun tidak berada dalam keadaan kritikal.
Menurut pihak Belgium di akaun media sosial, perlawanan kelayakan Kumpulan F Eropah antara kedua-dua negara digantung pada separuh masa disebabkan insiden itu.
Kira-kira 35,000 penyokong menghadiri perlawanan itu dan pasukan polis mula memindahkan individu berkenaan dari stadium.
Terdahulu, rakaman video memaparkan seorang lelaki berbahasa Arab yang mengaku bertanggungjawab ke atas insiden tembakan itu, tular dalam media sosial. – AFP