RAFAH: Lapan kanak-kanak sekeluarga terkorban dalam satu bedilan ketika tidur, dan doktor bertungkus lumus usaha tetapi gagal untuk menyelamatkan bayi dalam kandungan seorang ibu yang maut susulan tindakan Israel terus meningkatkan serangan udara ke atas Gaza.
Menurut kerajaan bawah pentadbiran Hamas, sekurang-kurang 1,524 kanak-kanak menjadi sebahagian daripada 3,785 mangsa maut, setakat ini, dalam serangan bertalu-talu dilancarkan rejim Zionis ke atas Gaza sejak konflik terbaru meletus 7 Oktober lalu.
Sejak peperangan kali ini tercetus, Gaza telah menyaksikan ramai ibu bapa dihambat perasaan hiba dan pilu sambil membawa jenazah anak yang berbalut kain kafan untuk dikebumikan.
Doktor yang terus bergelut merawat dan menyelamatkan nyawa tatkala keadaan semakin genting kini, memberitahu bahawa mereka seolah-olah ‘bertarung dalam pertempuran yang sedang tewas’ berikutan hospital ‘kian tenat’ dengan masalah kekurangan ubat-ubatan, air serta bahan api.
Pada awal pagi kelmarin, lapan kanak-kanak berumur antara dua hingga lima tahun merupakan antara 10 mangsa sekeluarga terkorban dalam serangan udara yang mengenai sebuah rumah di bandar Khan Yunis di selatan Gaza, menurut saudara-mara mereka.
“Anak-anak berkenaan sedang tidur ketika kediaman mereka dimusnahkan,” kata datuk mangsa, Abu Mohammad Wafi al-Bakri, 67.
Pasukan penyelamat pula memaklumkan, kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Diyala, Ayman, Hamada, Zaher, Uday, Jamal, Nabil serta Acil yang semuanya daripada sebuah keluarga sama dan sedang tidur di tingkat bawah ketika kejadian.
Sementara itu di Hospital Najjar di Rafah pula, doktor menangisi kematian bayi dalam kandungan seorang ibu yang maut akibat serangan peluru berpandu pada awal pagi semalam.
Wanita terbabit, Arij Marwan al-Banna yang sedang sarat mengandung tujuh bulan, bersama dua anak perempuannya berusia bawah 10 tahun dikenali sebagai Sarah and Samya, meninggal dunia di tempat kejadian, kata sumber perubatan kepada AFP.
Doktor ‘berjuang’ cuba menyelamatkan bayi dalam kandungan dengan melakukan pembedahan ke atas ibunya, namun usaha itu gagal. Bayi terbabit kemudian dinamakan sebagai Fatima dan jenazah kecil itu diletakkan di atas jenazah ibunya sebelum dikebumikan.
Sebelum itu, Arij Marwan dari utara Gaza terpaksa ke rumah ibu bapanya selepas Israel memberi amaran supaya kira-kira 1.1 juta penduduk segera berpindah ke bahagian selatan. – AFP