Debaran Pemilu 2024 sudah bermula - Utusan Malaysia

Debaran Pemilu 2024 sudah bermula

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pendaftaran dijalankan untuk calon yang bersaing bagi menggantikan Presiden, Indonesia, Joko Widodo selepas hampir sedekad berkuasa, ketika musim pilihan raya bermula di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Selain Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto,72, persaingan merebut jawatan Presiden Indonesia turut melibatkan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang kedua-duanya berusia 54 tahun.

Kem Anies dan Ganjar mendaftar awal dan membentangkan platform dasar mereka di Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) sejurus pendaftaran selama tujuh hari itu dibuka.

Tinjauan pendapat menunjukkan Ganjar bersaing rapat dengan Prabowo, yang membuat percubaan kali ketiga bagi jawatan presiden selepas tewas kepada Jokowi pada 2014 dan 2019 sementara Anies mengekori di belakang mereka.

Ganjar, pilihan presiden untuk Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) akan disertai bekas hakim dan Ketua Menteri Keselamatan, Mahfud MD manakala Anies bergandingan dengan Ketua Umum Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Muhaimin Iskandar.

Prabowo menjadi kumpulan terakhir mengumumkan pasangan naib presidennya selepas teka teki gandingannya mendominasi tajuk berita sejak beberapa hari lalu di tengah-tengah spekulasi beliau akan disertai oleh anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun, Khofifah Indar Parawansa dan Erick Thohir.

Potensi pencalonan Gibran akan menjadi kontroversi selepas kemarahan minggu ini berhubung keputusan Mahkamah Perlembagaan bahawa umur minimum 40 tahun tidak perlu dikenakan kepada semua calon yang memohon jawatan presiden atau timbalan presiden.

Jokowi berkata beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon presiden, tetapi terdapat beberapa pakar politik yang mendakwa beliau sedang berusaha untuk mengekalkan pengaruhnya.

Hampir 205 juta penduduk Indonesia pada Februari tahun depan akan memilih pemimpin baharu untuk menerajui negara yang kaya dengan sumber ekonomi lebih AS$1 trilion (RM4.74 trilion) itu.

Presiden baharu Indonesia jangka bakal mengambil langkah bercita-cita tinggi untuk meningkatkan pelaburan asing, membangunkan industri hiliran dan beralih daripada pergantungan kepada bahan api fosil.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN