BEIJING: China menyifatkan tindakan Israel terhadap Semenanjung Gaza sebagai ‘sudah melebihi skop pertahanan’ dan menggesa kerajaan Zionis itu menghentikan semua kekejaman yang dilakukan.
Menteri Luar China, Wang Yi yang melakukan panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan kelmarin mengeluarkan kenyataan itu selepas Israel bersungguh-sungguh mahu melakukan serangan darat besar-besaran di Gaza.
“Tindakan Israel itu amat keterlaluan dan sebenarnya sudah melebihi daripada yang sepatutnya. Memang benar setiap negara perlu mempertahankan kedaulatannya, namun apa yang dilakukan Israel itu tidak wajar.
“Israel perlu mendengar dan mengambil tindakan berhubung gesaan antarabangsa yang mendesak supaya kekejaman di Palestin dihentikan segera,” katanya.
Kenyataan itu disifatkan paling lantang dikeluarkan China berhubung konflik Hamas dan Israel.
Lebih sejuta penduduk di utara Gaza diarahkan berpindah ke selatan selepas tentera Israel bersedia melancarkan serangan darat dalam skala besar.
Dalam pada itu, Wang Yi memberitahu Putera Faisal bahawa semua pihak tidak perlu mengambil sebarang tindakan yang hanya boleh memburukkan situasi, malah perlu berunding secepat mungkin.
Katanya, Amerika Syarikat (AS) juga memainkan peranan penting dalam penyelesaian konflik Israel-Palestin, dengan mengajak komuniti antarabangsa membantu kedua-dua negara berkenaan mencapai perdamaian.
Kenyataan yang dibuat China juga tidak melabelkan Hamas sebagai pengganas dan secara tidak langsung mencetuskan kritikan daripada negara Barat.
Barat menyifatkan Beijing sebagai ‘kuasa lemah’ kerana tidak mengkritik serangan yang dilakukan Hamas. – AFP