WASHINGTON: Kementerian Luar China kelmarin menyatakan Beijing berhasrat mengurangkan perselisihan faham dan tanggapan salah dengan Washington.
Perkara itu dimaklumkan oleh menterinya, Wang Yi menjelang pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, lapor Agensi Berita dpa.
Dalam kenyataan kepada media menjelang pertemuan dengan Blinken di Washington, beliau berkata, hubungan antara China dan AS harus kembali ke landasan yang sihat, stabil dan mampan.
“Apa yang betul dan apa yang salah tidak berlandaskan kepada siapa memiliki kuasa atau suara yang lebih lantang, tetapi seharusnya berkelakuan dengan cara yang konsisten dengan tiga pernyataan bersama China-AS.
“Perkara itu selaras dengan undang-undang dan norma asas hubungan antarabangsa, dan sejajar dengan keadaan semasa,” kata ketua diplomat itu melalui jurubahasa.
Dalam pada itu, Blinken menyatakan persetujuan dengan kenyataan Wang dan menantikan sesi perbincangan yang membina dalam tempoh dua hari akan datang.
Lawatan Wang Yi dijangka berakhir hari ini.
Hubungan antara AS dan China tegang akibat pelbagai isu, termasuk sokongan China terhadap operasi ketenteraan Rusia di Ukraine, isu Taiwan, dan pertikaian perdagangan yang berterusan.
Baru-baru ini, kedua-dua negara-negara itu berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan mengadakan lawatan antara wakil kerajaan dengan lebih kerap.