JIUQUAN: China menghantar tiga angkasawan negara itu ke stesen angkasa Tiangong, hari ini.
Ia merupakan misi terbaharu sebagai persediaan program angkasa lepas yang merancang untuk menghantar manusia ke bulan menjelang 2030.
Shenzhou-17 berlepas dari tapak pelancaran Jiuquan di barat laut China pada pukul 11.14 pagi (waktu tempatan), membawa kru tiga angkasawan iaitu Tang Hongbo, 48, dan dua lagi angkawasan muda, Tang Shengjie, 33, dan Jiang Xinlin, 35.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kapal angkasa itu yang dipasang atas roket pengangkut Long March-2F, berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan.
Dilaporkan, ia merupakan misi kedua Tang Hongbo ke stesen angkasa Tiangong.
Kali ini, Tang Hongbo mengetuai kru angkasawan berkenaan, dengan ditemani oleh Tang Shengjie serta Jiang Xinlin yang masing-masing merupakan pengembaraan sulung ke angkasa lepas.
Tiga anggota kru Shenzhou-16 yang berada di stesen angkasa Tiangong selama hampir lima bulan, kini bersiap sedia menerima kehadiran pasukan angkasawan tersebut sebelum kembali ke bumi minggu depan. -AFP