BEIJING: Pengendali pelancongan di wilayah Zhejiang, China membina eskalator gergasi di beberapa gunung bagi membolehkan para pengunjung melawat lokasi pergunungan yang indah tanpa perlu mendakinya.
Lapor Oddity Central, pelancong kini boleh menaiki eskalator sepanjang ratusan meter itu untuk sampai ke lokasi pemandangan terbaik.
Kawasan pergunungan yang sebelum ini hanya boleh diakses dengan mendaki di laluan berbahaya kini tersedia kepada mana-mana individu yang menaiki eskalator tersebut selama beberapa minit.
Misalnya, Gunung Tanyu di daerah Chun’an, Zhejiang hanya mempunyai ketinggian 350 meter, namun disebabkan laluan sukar pengunjung perlu berjalan melepasi tiga gunung mengelilingi kawasan itu untuk sampai ke puncak.
Situasi itu turut menyebabkan ia tidak dapat diakses oleh warga emas dan kanak-kanak.
Namun, kini mana-mana individu boleh sampai ke puncak Gunung Tanya tanpa perlu mendakinya selepas eskalator baharu dibina.
“Tujuan asal pembinaan eskalator itu adalah untuk menangani masalah kesesakan ketika orang ramai mendaki gunung tersebut.
“Pada mulanya, kami merancang membina kereta kabel tetapi setelah meneliti keupayaan pengangkutannya yang terhad dan risiko keselamatan tinggi, kami dapati eskalator lebih selamat.
“Malah, ia juga mempunyai keupayaan pengangkutan yang tinggi selain dapat memenuhi keperluan pengunjung untuk ke kawasan pergunungan indah itu,” kata pekerja yang membina eskalator gergasi itu.
Beberapa rakaman video menunjukkan sistem eskalator sepanjang 350 meter yang digunakan di Gunung Tanyu menjadi tular dalam media sosial.
Bagaimanapun, ia bukan satu-satunya kemudahan sedemikian digunakan di wilayah Zhejiang.
Zon Lawatan Shenxianju di Taizhou turut menampilkan eskalator sepanjang 104 meter dikenali sebagai South Sky Ladder yang dibina kira-kira tiga tahun lalu.