China beritahu Israel, 'semua negara berhak pertahankan diri' - Utusan Malaysia

China beritahu Israel, ‘semua negara berhak pertahankan diri’

WANG Yi dilantik sebagai menteri luar baharu China menggantikan Qin Gang. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Menteri Luar China, Wang Yi, hari ini memberitahu rakan sejawatnya di Israel bahawa ‘semua negara mempunyai hak mempertahankan diri’.

Mesej itu disampaikan Beijing dalam perbualan telefon pertama antara diplomat tertinggi dari kedua-dua negara itu sejak konflik Israel-Palestin meletus bulan ini.

“Semua negara mempunyai hak mempertahankan diri,” kata Wang Yi kepada Menteri Luar Israel, Eli Cohen, menurut nota Kementerian Luar kepada pemberita.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan negara terbabit harus mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi keselamatan orang awam.

Dalam pada itu, Wang berjanji, China akan ‘melakukan yang terbaik’ untuk menyokong usaha yang ‘kondusif untuk keamanan’.

Pada 7 Oktober lalu, pejuang Hamas menyerbu Israel dari Semenanjung Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakannya orang awam pada hari pertama serangan, menurut pegawai Israel.

Israel berkata, kira-kira 1,500 pejuang Hamas terbunuh dalam pertempuran sebelum tenteranya menguasai semula kawasan yang diserang.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 5,000 penduduk Palestin terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza, kebanyakannya orang awam, dalam serangan balas tanpa henti Israel bagi membalas dendam terhadap kumpulan pejuang Islam itu.

China bagaimanapun mengelak mengutuk Hamas secara terbuka atas serangan itu.

Sementara itu, Washington berkata, pihaknya berharap persahabatan China dengan penyokong Hamas dan Iran dapat membantu meredakan konflik, terutama selepas Beijing menjadi perantara bagi Teheran dan musuh lamanya, Arab Saudi tahun ini.

“Tugas paling mendesak sekarang adalah menghalang konflik daripada terus meningkat, yang boleh membawa kepada bencana kemanusiaan lebih serius,” katanya Wang kepada Cohen.

Wang turut mengulangi pendirian Beijing bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya hasil yang berdaya maju kepada konflik itu.

China sangat berharap isu Palestin akan diselesaikan secara menyeluruh dan adil berdasarkan ‘penyelesaian dua negara’.

Pada masa sama, kebimbangan keselamatan yang sah semua pihak dapat ditangani dengan cara yang ikhlas lagi teliti bagi mendapatkan penyelesaiannya berkekalan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya