OTTAWA: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pasukannya menemukan cebisan mayat manusia dipercayai daripada kapal selam Titan yang meletup ketika misi ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic di dasar laut pada Jun lalu.
Lapor Daily Mail, menurut Pengawal Pantai AS, proses pemindahan cebisan mayat manusia itu sudah selesai dilakukan Rabu lalu.
Malah, jabatan itu turut menyiarkan sekeping gambar menunjukkan penutup titanium yang utuh milik kapal selam berkenaan.
Menurut Pengawal Pantai AS, lagi cebisan mayat manusia ditemukan pada serpihan kapal Titan dan sudah dihantar untuk dianalisis lanjut oleh pakar perubatan.
Misi kali ini yang dijalankan di bawah perjanjian dengan tentera laut AS, merupakan susulan kepada operasi pencarian Titan di dasar laut kira-kira 487 meter jauh dari Titanic.
Beberapa bahan bukti yang ditemukan itu sudah diturunkan di sebuah pelabuhan yang tidak didedahkan nama.
Sebelum ini, Pengawal Pantai AS mengesahkan pasukannya menemukan cebisan mayat manusia bersama beberapa bahagian kapal Titan selepas serpihan itu ditemukan pada kedalaman 3,810 meter.
Sementara itu, Lembaga Penyiasatan Marin memaklumkan pasukan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada menyertai misi pencarian itu.
Jelasnya, Pengawal Pantai AS sedang menyelaras dengan agensi penyiasatan antarabangsa untuk mengadakan semakan bersama bukti untuk menentukan langkah seterusnya bagi ujian forensik.
Titan dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu dan Pengawal Pantai AS mengesahkan kesemua lima individu dalam kapal selam itu meninggal dunia selepas berlakunya letupan dahsyat semasa ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic pada kedalaman 3,800 meter di bawah Laut Atlantik.