Bimbang tindakan tegas, PATI Afghanistan tinggalkan Pakistan

Bimbang tindakan tegas, PATI Afghanistan mula tinggalkan Pakistan

KELUARGA pelarian Afghanistan tiba di pusat penghantaran pulang UNHCR di Peshawar, Pakistan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Agensi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan peningkatan mendadak warga Afghanistan yang pulang ke tanah air sejak Pakistan melancarkan tindakan tegas terhadap penduduk yang tinggal di negara itu secara haram.

PBB menggesa Pakistan untuk menggantung dasar itu sebelum terlambat bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan.

Pakistan awal bulan ini menegaskan akan menangkap dan menghantar pulang warga asing yang tidak memiliki dokumen sah atau tidak berdaftar selepas 31 Oktober.

Dua wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan turut dilaporkan menubuhkan pusat penghantaran pulang pendatang asing.

Kerajaan berkata, kempen itu tidak ditujukan kepada kewarganegaraan tertentu, tetapi dilihat memberi kesan kepada warga Afghanistan yang merupakan sebahagian besar pendatang asing di negara itu.

Agensi PBB berkata, terdapat lebih dua juta warga Afghanistan tanpa izin di Pakistan dengan sekurang-kurangnya 600,000 daripada mereka melarikan diri selepas pengambilalihan Taliban pada 2021.

Afghanistan sedang melalui krisis kemanusiaan yang meruncing terutamanya bagi wanita dan gadis yang dilarang melanjutkan pelajaran melebihi darjah enam, selain disekat memasuki ruang awam serta banyak peluang pekerjaan oleh Taliban.

Terdapat juga sekatan ke atas media, aktivis, dan organisasi masyarakat sivil.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, puluhan ribu rakyat Afghanistan meninggalkan Pakistan antara 3 hingga 15 Oktober, dengan ramai mengakui bimbang ditahan sebagai punca mereka terpaksa pulang.

“Kami percaya ramai daripada mereka yang menghadapi pengusiran akan berdepan risiko besar pencabulan hak asasi manusia jika kembali ke Afghanistan, termasuk penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan, kejam serta layanan tidak berperikemanusiaan yang lain,” jelas badan itu.

Pakistan menegaskan bahawa tiada warga asing yang akan dianiaya selepas mereka ditangkap malah memaklumkan penghantaran pulang akan dilaksanakan secara berperingkat dan teratur.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya