WASHINGTON: Presiden Joe Biden semalam menegaskan kepada Benjamin Netanyahu supaya mengikut peraturan perang selepas Perdana Menteri Israel itu berikrar untuk memusnahkan Hamas ekoran konflik di Gaza.
Presiden berusia 80 tahun itu, yang sebelum ini mengarahlan supaya menghantar kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) ke rantau itu sebagai tanda sokongan kepada Israel, turut mengeluarkan memberi amaran kepada Iran supaya ‘berwaspada’ berhubung sokongan kepada Hamas.
Mengenai tindakan serangan udara Israel yang didakwa Palestin membunuh lebih 1,000 orang, Biden berkata, beliau sudah pun bercakap dengan Netanyahu, kelmarin.
Presiden AS itu berkata, beliau sudah mengenali ‘Bibi’ Netanyahu selama 40 tahun dan mereka mempunyai ‘hubungan yang sangat jujur dan baik’.
“Satu perkara yang saya katakan adalah sangat penting bagi Israel, dengan segala kemarahan dan kekecewaan… yang ada, mereka perlu beroperasi mengikut peraturan perang.
“Dan adanya peraturan perang,” kata Biden.
Kenyataan itu juga dilihat yang pertama daripada Biden untuk membuat apa-apa jenis seruan bagi mengekang tindak balas Israel terhadap tindakan yang disifatkan ‘kejahatan semata-mata’ oleh Hamas, Sabtu lalu.
Netanyahu sebelum ini turut berikrar akan memusnahkan sepenuhnya kumpulan pejuang itu.
Dalam amarannya kepada Iran yang didakwa menyokong Hamas dan Hezbollah Lubnan, Biden mengingatkan bahawa Washington sudah memindahkan kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald R. Ford, dan armadanya ke rantau itu.
Ketika ini, pegawai AS berkata, mereka belum mempunyai bukti yang menunjukkan Iran terbabit dalam merancang atau menyediakan serangan Hamas.
Sekurang-kurangnya 22 rakyat AS terbunuh dalam serangan Hamas, manakala jumlah warga AS yang tidak diketahui keberadaannya adalah dianggarkan antara 150 orang – termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua – yang dijadikan tebusan.