WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengakui sebarang tindakan Israel untuk menduduki Semenanjung Gaza akan menjadi satu kesilapan besar.
Kenyataan itu dikeluarkan Biden dalam satu wawancara berita CBS 60 minutes kelmarin, ketika tentera Israel bersiap sedia melancarkan serangan darat.
“Saya fikir ia akan menjadi satu kesilapan besar. Hamas tidak mewakili semua rakyat Palestin.
“Namun serangan dan mengusir kumpulan pelampau adalah satu keperluan,” katanya ketika ditanya sama ada beliau menyokong tindakan pendudukan sekutu AS itu terhadap Gaza.
Rejim Zionis melancarkan serangan balas terhadap Hamas selepas pejuang Palestin itu bertindak mengaktifkan Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu.
Susulan itu, lebih sejuta penduduk di utara Gaza diberi amaran supaya bergerak ke selatan menjelang operasi berkenaan.
Serangan Hamas menyaksikan lebih 1,400 orang terkorban, manakala tindak balas rejim Israel pula menyebabkan sekurang-kurangnya 2,670 penduduk di Gaza, terbunuh.
Pada masa sama, Biden turut bersetuju pejuang Hamas yang disifatkan beliau sebagai kumpulan ‘pengecut’, perlu dihapuskan sepenuhnya.
“Ya saya setuju tetapi wujud keperluan adanya pihak berkuasa Palestin dan laluan ke arah negara Palestin,” ujarnya.
Sementara itu, Biden turut mengulangi gesaan AS bagi penyelesaian dua negara.
Ketika ditanya sama ada tentera AS akan menyertai perang itu, Biden bagaimanapun berkata, pihaknya tidak melihat wujudnya keperluan berkenaan.
“Saya rasa itu tidak perlu kerana Israel ada pasukan tentera terbaik. Saya memberi jaminan kami akan menyediakan semua yang mereka perlukan,” jelasnya.