GAZA: Kumpulan pejuang Hamas tidak akan mengalah, malah terus berjuang selagi mampu pertahankan Gaza ketika rejim Zionis terus meningkatkan operasi daratnya di wilayah itu.
Hamas berkata, pejuangnya terlibat dalam pertempuran hebat di Gaza di mana Israel meningkatkan operasi darat, ketika seruan berganda untuk menyampaikan bantuan kepada wilayah Palestin selepas beberapa minggu pengepungan dan pengeboman.
PERTEMPURAN MAKIN SENGIT
“Briged Ezzedine al-Qassam sudah terlibat dalam pertempuran hebat dengan tentera penjajah. Nyawa dan darah kami hanya untuk Gaza, Palestin,” jelas Hamas dalam satu kenyataan.
Tentera Israel mengeluarkan beberapa siri imej yang menunjukkan kereta kebal, pengangkut kakitangan berperisai, meriam dan infantri sarat dengan peralatan beroperasi di dalam wilayah Palestin.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa melakukan kempen pengeboman paling sengit dan menyerang lebih 600 sasaran pengganas, termasuk pusat perintah operasi, pos pemerhatian, dan pos pelancaran peluru berpandu anti-kereta kebal.
Berikutan pertempuran yang semakin hebat, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari memberitahu orang awam Palestin untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat di selatan wilayah itu.
“Kami secara beransur-ansur mengembangkan aktiviti darat dan skop pasukan kami di Semenanjung Gaza,” katanya.
Walaupun gesaan untuk gencatan senjata kemanusiaan, kemarahan antarabangsa dan potensi risiko kepada tebusan yang ditahan di Gaza, Israel masih tetap memperluaskan niat balas dendamnya terhadap Hamas.
Kementerian kesihatan Gaza berkata, serangan balas Israel sudah mengorbankan lebih 8,000 nyawa, terutamanya orang awam dengan separuh daripadanya adalah kanak-kanak.
Panik dan ketakutan turut meningkat di dalam wilayah Palestin, di mana Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih separuh daripada 2.4 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan beribu-ribu bangunan musnah dibedil serangan udara Israel.
Pemimpin dunia menggariskan kepentingan meningkatkan bantuan ke wilayah yang dikuasai Hamas dan penunjuk perasaan di seluruh dunia berhimpun untuk gencatan senjata, selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan peperangannya terhadap Gaza akan menjadi panjang dan sukar.
Keperluan mendesak untuk mendapatkan bantuan semakin memuncak apabila
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan beribu-ribu orang menyerbu gudangnya untuk mengambil makanan dalam tin, tepung, minyak dan bekalan kebersihan.
SASAR HOSPITAL
Menurut PBB, kesemua 10 hospital di utara Gaza sudah menerima arahan pemindahan walaupun melindungi beribu-ribu pesakit dan kira-kira 117,000 orang yang dipindahkan.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pemindahan adalah mustahil dan melaporkan serangan berulang di sekitar hospital Al-Quds di tengah Gaza.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, seruan untuk mengosongkan hospital Al-Quds adalah sangat membimbangkan.
“Kami mengulangi, adalah mustahil untuk mengosongkan hospital yang penuh dengan pesakit tanpa membahayakan nyawa mereka,” tulis Ghebreyesus di laman X.
Israel menyifatkan hospital Al-Shifa sebagai pusat komando dan ibu pejabat Hamas.
BENARKAH LAPORAN ISRAEL?
Dalam pada itu, beberapa penganalisis mempersoalkan mengenai media pro-Israel dalam melaporkan konflik yang berlaku, terutamanya keadaan di Gaza.
Menurut pandangan mereka, laporan yang disediakan jelas bersifat berat sebelah kerana hanya melaporkan mengenai ‘betapa jahatnya Hamas, betapa kasihannya penduduk Israel yang menjadi mangsa serangan Hamas’.
Sedangkan realitinya, dunia sendiri mengetahui apa yang berlaku di Gaza dan bagaimana setiap hari penduduknya mati dibedil serangan udara Zionis.
Apa yang lebih pelik, setiap laporan yang disediakan mengandungi tajuk retorik mengenai ‘hebatnya tentera Israel melancarkan serangan’, walhal apabila diminta komen, jurucakap tenteranya hanya mampu berkata ‘kami tidak boleh ulas lanjut’ atau ‘ini sahaja maklumat yang kami dapat’.
Perkara itu secara tidak langsung mencetuskan rasa ragu-ragu dengan laporan media pro-Israel.