BEIJING: Bekas Pengerusi Bank of China ditahan kerana disyaki terlibat dalam skandal rasuah, kata pendakwa raya terkemuka negara itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan Prokurator Agung Rakyat (SPP) memutuskan untuk menahan Liu Lian’ge, 62, kerana disyaki menerima rasuah dan memberikan pinjaman secara haram.
“Kes Lian’ge sudah dipindahkan ke prokurator untuk semakan dan pendakwaan.
“Ketika ini, kes itu dalam proses selanjutnya,” jelas laporan agensi itu.
Pada Februari lalu, Bank of China mengumumkan Liu Lian’ge, 62, meletak jawatan sebagai pengerusi dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai ketua Parti Komunis.
Badan pemantau anti-rasuah China kemudian memaklumkan Lian’ge sedang disiasat atas dakwaan `pelanggaran disiplin dan undang-undang’.
Sejak memerintah pada tahun 2012, Presiden China, Xi Jinping melancarkan kempen memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa secara habis-habisan di negara itu.
Para penyokong berpandangan usaha itu menggalakkan tadbir urus bersih manakala pengkritik pula mendakwa ia membantu Jinping `menghapuskan’ pesaing politiknya. – AFP