SYDNEY: Bahagian tenggara Australia dilanda gelombang panas yang meningkatkan risiko kebakaran belukar, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengeluarkan larangan membakar membabitkan sebahagian besar kawasan di negeri New South Wales (NSW).
Menurut agensi ramalan cuaca, suhu akan mencecah sehingga 12 darjah Celsius melebihi kadar purata di beberapa kawasan dengan suhu di Sydney, ibu kota negeri yang menempatkan paling ramai penduduk di Australia, NSW, dijangka mencecah 36 darjah Celsius.
Berdasarkan data agensi ramalan cuaca, di Lapangan Terbang Kingsford Smith di Sydney, suhu sudah mencecah 28 darjah Celsius pada pukul 10 pagi semalam, iaitu lebih lima darjah melebihi purata suhu maksimum bagi September.
Australia berdepan risiko tinggi kebakaran belukar susulan fenomena El Nino yang diumumkan baru-baru ini, kebiasaannya dikaitkan dengan bencana alam termasuk kebakaran hutan, taufan dan kemarau.
Menteri Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Jihad Dib, berkata cuaca panas terik meningkatkan risiko kebakaran belukar pada minggu depan.
Pihak berkuasa bomba hari ini mengeluarkan sembilan larangan membakar untuk beberapa bahagian di negeri itu dalam usaha mengurangkan kemungkinan berlaku kes yang tidak diingini itu.
Sementara itu, institut cuaca New Zealand memaklumkan, corak cuaca El Nino telah bermula dan dijangka membawa kepada angin kencang, perubahan suhu melampau dan hujan yang berubah-ubah dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera (Niwa) New Zealand, berkata suhu lebih panas berkemungkinan berlaku di timur kedua-dua pulau utama negara.
Menurut Niwa, taburan hujan berkemungkinan besar di bawah paras normal di utara dan timur Pulau Utara, dan melebihi kadar normal di barat Pulau Selatan.
El Nino boleh memberi kesan kepada pengeluaran susu dan membantutkan perkembangan ternakan haiwan di New Zealand, yang juga pengeksport utama tenusu dan daging. – REUTERS