Bekalan makanan perlu dihantar segera ke Gaza - WFP - Utusan Malaysia

Bekalan makanan perlu dihantar segera ke Gaza – WFP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) semalam menggesa diwujudkan koridor kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan makanan ke Gaza ketika serangan udara Israel melanda kawasan Palestin susulan serangan maut Hamas.

“Apabila konflik semakin meningkat, orang awam, termasuk kanak-kanak dan keluarga yang terdedah, menghadapi cabaran semakin meningkat dalam akses bekalan makanan penting.

“WFP menggesa akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas, menyeru semua pihak menegakkan prinsip undang-undang kemanusiaan termasuk memastikan akses kepada makanan,” menurut WFP yang berpangkalan di Rom.

Menurut laporan Reuters, agensi PBB itu menyediakan bantuan makanan terus kepada kira-kira 350,000 rakyat Palestin setiap bulan, sementara turut menawarkan bantuan kepada hampir satu juta rakyat Palestin dengan kerjasama rakan kemanusiaan lain melalui pemindahan wang tunai.

WFP berkata ia bersedia menyediakan stok makanan awal untuk orang yang dipindahkan atau berada di tempat perlindungan.

“Walaupun kebanyakan premis perniagaan di kawasan terjejas di Palestin pada masa ini mengekalkan stok makanan untuk sebulan, akan wujud risiko apabila orang ramai membeli makanan kerana bimbang konflik berpanjangan,” katanya.

Pesawat Israel menyerang Gaza semalam selepas Israel mengalami serangan paling berdarah dalam beberapa dekad, apabila pejuang Hamas menyerang melalui bandar-bandar Israel membunuh 600 dan menculik puluhan lagi.

Menurut tentera Israel, mereka mengerahkan puluhan ribu tentera di sekitar Gaza, sebuah jalur sempit yang menempatkan 2.3 juta penduduk Palestin, di tengah-tengah spekulasi meluas mengenai pencerobohan Israel berskala besar yang akan berlaku ke wilayah itu.

Sementara itu memetik laporan AFP, hampir 1,000 orang terbunuh sejak pejuang Hamas menyerbu merentasi sempadan Gaza dengan Israel kelmarin, mencetuskan pertempuran senjata dengan Israel, yang juga melancarkan serangan udara ke atas kawasan pantai yang dikepung.

Laporan itu turut menjelaskan kebimbangan WFP mengenai bekalan makanan di premis perniagaan dan kesan pemotongan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza, yang sudah mengalami defisit elektrik yang kronik.

“Pemotongan bekalan elektrik yang kerap membawa ancaman kerosakan makanan,” kata WFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya