YORK: Semakin ramai ibu-bapa yang mempunyai anak kecil di Amerika Syarikat (AS) terpaksa berhenti kerja berikutan pusat jagaan harian tidak mencukupi atau bayaran yang dikenakan terlalu mahal.
Ketua persatuan pemimpin perniagaan di York County, Pennsylvania Kevin Schreiber, berkata situasi itu dikesan semakin meningkat selepas pandemik Covid-19.
Beliau berkata demikian kepada AFP ketika program sampingan sempena lawatan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell dan wakil Philadelphia, Patrick Harker.
Ketika negara berdepan isu kekurangan buruh ketara, hampir mustahil untuk rakyatnya mendapatkan pekerjaan tanpa penjagaan harian yang tersedia atau berpatutan.
Wilayah pembuatan York, yang terletak di antara Washington dan New York, juga terkesan apabila 20 peratus pusat jagaan harian ‘hilang’ sejak pandemik Covid-19.
Kata Schreiber, jumlah yang kekal beroperasi hanyalah pada kapasiti 85 peratus kerana kekurangan kakitangan.
Menurut Majlis Pengiktirafan Profesional, yang mengiktiraf kemudahan itu, secara keseluruhan, di AS sahaja, hampir 16,000 pusat jagaan harian atau 10 peratus, sudah menutup operasi sejak 2020.
Akibatnya, ketua majlis itu, Calvin Moore berkata, dalam lebih 20 peratus keluarga, ibu bapa, yang biasanya ibu, terpaksa meninggalkan kerja bagi menjaga anak sekali gus membawa kepada kehilangan pendapatan isi rumah yang besar.
Pada awal tahun ini, sejumlah 4.5 juta rakyat AS tidak bekerja kerana isu penjagaan kanak-kanak. Sekiranya mampu menggunakan kemudahan itu, ia juga terlalu mahal.
Kim Bracey dari YMCA berkata, kira-kira 25 peratus daripada pendapatan isi rumah disalurkan ke arah penjagaan kanak-kanak.
“Ibu atau bapa perlu menentukan siapa yang akan bekerja, siapa yang boleh tinggal di rumah,” katanya.
Sesetengah keluarga juga terpaksa menggunakan kad kredit, membayar hutang faedah yang tinggi hanya untuk membayar penjagaan anak.
Pada Februari 2021, Powell pernah menyuarakan kebimbangan mengenai perkara sama termasuklah mengetengahkan isu negara maju yang mempunyai sistem penjagaan kanak-kanak yang lebih baik yang akhirnya memberi tenaga buruh yang jauh lebih tinggi untuk wanita.
“Kita pernah memimpin dunia dalam penyertaan tenaga buruh wanita, suku abad yang lalu, tetapi kami tidak lagi melakukannya. Mungkin dasar-dasar itu sudah meletakkan kita di belakang,” katanya.