BEIJING: Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu mendakwa Barat sedang berusaha meluaskan konflik di Ukraine ke rantau Asia Pasifik.
Agensi berita TASS melaporkan dakwaan itu dengan memetik kenyataan Shoigu di sebuah forum pertahanan Beijing.
Bercakap di Forum Xiangshan, Shoigu mendakwa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang `menutup’ ketenteraan yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik dengan hasrat untuk berdialog.
Malah, Shoigu turut mendakwa negara-negara NATO sedang menggalakkan `perlumbaan senjata’ di rantau itu, selain meningkatkan kehadiran pasukan tenteranya dan melakukan latihan ketenteraan secara kerap.
Tentera Amerika Syarikat (AS) akan menggunakan pertukaran maklumat dengan Tokyo dan Seoul pada pelancaran peluru berpandu untuk menghalang Russia dan China.
Beliau juga menuduh Washington cuba menggunakan isu perubahan iklim dan bencana alam sebagai alasan untuk `campur tangan’ atas dasar kemanusiaan.
Jelas Shoigu, kemunculan beberapa blok keselamatan baharu seperti Quad dan AUKUS menjejaskan peranan ASEAN dan usaha bukan proliferasi di rantau tersebut.
Pada masa sama, Shoigu berkata, tindakan Russia untuk membatalkan ratifikasi Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif tidak bermaksud bahawa perjanjian itu berakhir.
Malah, katanya, Russia tidak mengambil kira faktor luaran untuk penggunaan senjata nuklear.
“Kami hanya ingin memulihkan persamaan dengan AS yang tidak meratifikasi perjanjian ini.
“Kami tidak bercakap mengenai kemusnahan,” katanya.
Tambah Shoigu, Moscow bersedia mengadakan rundingan mengenai penyelesaian pasca konflik krisis Ukraine berkaitan `kewujudan bersama’ selanjutnya dengan Barat.
Namun, katanya, negera-negara Barat perlu berhenti mencari kekalahan strategik Russia. – REUTERS